SHAH ALAM – Saksi kesembilan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim mengakui sedih kerana tidak dapat menziarahi jenazah buat kali terakhir meskipun sudah sampai ke Kampung Tebengau, Kuala Kedah.
R. Narresh, 30, berkata, dia nekad untuk menziarahi Muhammad Adib buat kali terakhir pada majlis pengebumian selepas mengetahui Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018.
Bercerita dalam keadaan sugul, dia memberitahu, dia sanggup ke Alor Setar, Kedah dengan menaiki kereta api dari KL Sentral dan sampai di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.
Katanya, dia tidak dapat menziarahi Muhammad Adib semasa mendapatkan rawatan di IJN dan mengharapkan agar dapat bertemunya.
“Saya pergi ke kampung itu tetapi tidak sempat untuk melihat Muhammad Adib dan dia sudah dikebumikan.Orang kampung pandang saya semacam.
“Saya menempuh perjalanan selama 12 jam menaiki pengangkutan awam termasuk kereta api dan Grab,” katanya tadi.
Menurutnya, disebabkan tidak sempat menziarahi Muhammad Adib buat kali terakhir, dia pujuk S. Suresh untuk memberikan keterangan bagi menegakkan keadilan.
Narresh berkata,dia hanya dapat melihat Muhammad Adib di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) ketika menghantar anggota bomba itu ke hospital.
Dalam prosiding itu juga, saksi sama turut meluahkan bahawa dia tidak memburukkan mana-mana pihak apabila menjadi saksi inkues kematian Muhammad Adib.
“Saya hanya membantu dan menjalankan tugas sebagai rakyat Malaysia tetapi saya menerima ancaman di media sosial daripada orang ramai berbentuk perkataan.
“Sehingga kini, ada lagi rakan yang menghubungi saya berhubung kes ini dan saya beritahu mereka supaya menghormati mahkamah kerana saya adalah saksi kesembilan serta ramai lagi saksi lain,” jelasnya. – K ONLINE!









