Inkues Adib: Perusuh ugut mahu pukul bomba - Saksi - Utusan Malaysia

Inkues Adib: Perusuh ugut mahu pukul bomba – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Saksi ketujuh prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim memberitahu, beliau terdengar perusuh merusuh sambil mengugut pukul bomba sebanyak dua kali semasa kekecohan yang berlaku malam 27 November lalu.

Anggota pemadaman Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Mohd. Sharol Anuar Kamarudin, 27, berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau turun daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) sebelum melihat beberapa lelaki menuju ke arahnya sambil menjerit ‘jangan padam..pukul bomba’.

Katanya, ketika itu, beliau terus tergamam dan terus naik semula ke jentera FRT untuk menyelamatkan diri.

“Saya nampak ada tiga orang menuju ke arah saya sambil memegang senjata seperti tiang besi, batu-bata dan objek lurus macam pedang samurai.

“Saya juga tidak pasti berapa ramai di situ tetapi lebih daripada 100 orang yang mengerumuni jentera FRT,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pendakwa, Zhafran Rahim Hamzah dihadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Menurutnya, beliau kemudian dimarahi Penyelia Operasi, Badrul Hisyam Salim yang sebelum itu melarangnya turun daripada jentera.

Tambahnya, kumpulan perusuh itu terus menghala ke arah jentera hingga memaksa jentera itu berundur sebelum rakan setugasnya, Md. Elliza Mohd. Noor memberitahu “ni dah melampau” (serangan ke atas jentera).

“Penyelia (Badrul Hisyam) kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) memaklumkan kami diserang,” ujarnya.

Jelasnya, Penyelia kemudian mengarahkan mereka ke Balai Polis USJ8, Subang Jaya untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, bercerita lanjut kejadian malam itu, beliau memaklumkan, keadaan Muhammad Adib 50-50.

“Masa itu, Penguasa Bomba Rosliadi menghubungi telefon bimbit Muhammad Adib tetapi dijawab orang awam yang menghantar Muhammad Adib ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) sambil memberitahu keadaannya sudah 50-50,” jelasnya.

Prosiding inkues hari kelima esok akan memanggil dua lagi saksi awam bagi memberikan keterangan berhubung kejadian terbabit. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×