Ijazah palsu: Jatuh imej negara - Utusan Malaysia

Ijazah palsu: Jatuh imej negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 9 Feb. – Perbuatan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang dikatakan menipu kelayakan akademiknya boleh menjatuhkan imej negara di mata negara luar.

Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, perbuatan itu dianggap satu perkara memalukan jika dakwaan itu benar.

Katanya, Marzuki perlu bersikap jujur dan profesional untuk membuat pengakuan itu kerana perkara itu sudah menjadi bualan netizen sekaligus memalukan negara serta menjejaskan kredibiliti pemimpin.

“Kita berharap penjelasan lebih tepat berhubung perkara itu dapat dilakukan supaya generasi belia masa kini tidak terikut dengan budaya penipuan kelayakan akademik bagi mendapatkan peluang pekerjaan.    

MOHD. SYAHBUDDIN HASHIM belakang (lima dari kiri) bersama dengan warga emas kaum Tionghua pada majl
MOHD. SYAHBUDDIN HASHIM  belakang (lima dari kiri) bersama dengan warga emas kaum Tionghua pada majlis meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, di Kampung Baru, Gua Musang, Kelantan, hari ini. – UTUSAN ONLINE

   
“Kami pemimpin belia mahu setiap kepimpinan  kerajaan ada integriti dan bercakap benar dalam apa isu dibangkitkan tanpa berselindung di sebalik penipuan. Kami turut malu kepada pemimpin negara luar jika benar berlaku pemilikan ijazah palsu bagi seseorang berjawatan menteri,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama kaum Tionghua di Kampung Baru, di sini hari ini. 

Pada Isnin lalu, seorang aktivis politik Muhsin Abdul Latheef menggesa pihak polis menyiasat dakwaan mengenai Marzuki  yang didakwa  memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.

Ia susulan pendedahan seorang warganet dikenali Zulfahan Pagon menerusi akaun Facebook  yang mendakwa program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dari Universiti Cambridge yang diikuti Marzuki itu tidak wujud.

Mohd. Syahbuddin berkata lagi, selagi Marzuki tidak menjelaskan perkara sebenar berhubung perkara itu maka selama itulah menimbulkan tanda tanya rakyat negara ini. 

“Kita mahu amalan tidak sihat dalam pentadbiran kerajaan itu dapat dibendung supaya tidak terikut oleh golongan muda.

“Isu itu memberi gambaran seolah-olah pemimpin politik sanggup berbuat apa sahaja demi meletakkan mereka sebagai orang berjawatan teratas (menteri),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN