TAMPIN 13 Feb. – Seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia lima tahun cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Pasir Besar, Gemas di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Mariani Ahmad, 31, yang memandu kereta jenis Honda City meninggal dunia di lokasi kejadian selepas keretanya dirempuh sebuah lori tiga tan milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains).
Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd. Kassim Arittin berkata, lelaki yang memandu lori milik Sains tersebut turut mengalami kecederaan.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda City, sebuah lori tiga tan milik Sains dan sebuah lori ais satu tan.
“Pemandu kereta maut dalam kemalangan itu, manakala anaknya cedera parah. Pemandu lori Sains turut cedera. Bagaimanapun tiga penumpang lori serta pemandu dan penumpang lori ais tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Kassim berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa lori Sains dari arah pekan Gemas ke Pasir Besar mahu memasuki simpang Kampung Londah di lokasi kejadian.
Katanya, lori itu dilanggar sebuah lori ais yang mengekorinya dari arah belakang menyebabkan lori Sains berkenaan melanggar kereta dipandu Mariani yang sedang bergerak dari arah bertentangan.
Ujarnya, seramai 12 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemas mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan Mariani yang tersepit di dalam kereta, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Katanya, anak mangsa yang parah dihantar ke Hospital Segamat, manakala pemandu lori Sains yang cedera dibawa oleh orang awam ke klinik berhampiran. – UTUSAN ONLINE










