TAMPIN 13 Feb. – Seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia lima tahun parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Pasir Besar, Gemas di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Mariani Ahmad, 31, yang memandu kereta Honda City meninggal dunia di lokasi kejadian selepas keretanya dirempuh sebuah lori tiga tan milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains).
Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd. Kassim Arittin berkata, lelaki yang memandu lori milik Sains tersebut turut mengalami kecederaan.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa lori Sains dari arah pekan Gemas ke Pasir Besar mahu memasuki simpang Kampung Londah di lokasi kejadian.
“Lori itu dilanggar sebuah lori ais yang mengekorinya dari arah belakang menyebabkan lori Sains itu melanggar kereta dipandu Mariani yang sedang bergerak dari arah bertentangan,” katanya.
Menurut Mohd. Kassim, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.01 tengah hari dan seramai 12 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dikerahkan ke lokasi kejadian.
Ujar beliau, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan Mariani yang tersepit dalam keretanya sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Kami dimaklumkan anak mangsa yang cedera parah di hantar ke Hospital Segamat, manakala pemandu lori Sains yang cedera dihantar oleh awam ke klinik berhampiran,” katanya.










