LONDON 14 Feb. – Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) akan mengklasifikasikan juara Olimpik 800m wanita, Caster Semenya sebagai ‘lelaki biologi’ dan dia akan dipaksa mengambil ubat penghalang testosterone sekiranya mahu beraksi dalam acara wanita.
Menjelang proses perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), minggu hadapan, akhbar The Times berkata, IAAF akan mencabar Semenya dan beberapa lagi atlet melibatkan isu ‘perbezaan jantina’.
Mereka hanya akan dibenarkan bertanding sekiranya kandungan testosterone dalam badan mereka rendah untuk memastikan hak atlet lain terjamin.
“IAAF tidak mengekelaskan mereka ini sebagai lelaki. Kami menerima keputusan jantina mereka dan membenarkan mereka bertanding dalam acara wanita.
“Bagaimanapun, mereka ini memiliki kandungan testosterone yang tinggi seperti lelaki, perkembangan otot dan tilang mereka sama seperti lelaki. Perkara ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk mengatasi atlet wanita lain.
“Bagi memastikan keadilan dalam pertandingan kategori wanita, adalah perlu untuk memastikan atlet-atlet seperti mereka untuk menurunkan kadar testosterone mereka kepada tahap sama seperti wanita supata mereka boleh beraksi di peringka antarabangsa,” kata IAAF dalam satu kenyataan.-AFP










