KUALA LUMPUR 27 Feb. – Bagai kembali ke zaman kegemilangan Kesultanan Melayu, begitulah rasanya berada dalam majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 di Dewan Utusan, di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 tetamu hadir dengan rata-ratanya memakai pakaian tradisional Melayu, lengkap bertanjak dan bersamping, menepati tema majlis iaitu Kesultanan Melayu.
Terdahulu, majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima tanjak berona hitam dan perak sebagai cenderamata daripada penganjur.
Menemani Anwar di atas pentas ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir dan Pengarang Utusan Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa HSKU, Datuk Zulkefli Hamzah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran empat Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Ahmad Khamal Abdullah dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.
Selain itu, beberapa selebriti dan penggiat seni tanah air turut hadir antaranya pelukis dan pelawak, Abdul Rahim Muda (Imuda); penyair, Pyanhabib Rahman; Mazlan Noor (Along) serta pelawak, Jalil Hamid.
Pada penghujung majlis, tetamu dihiburkan dengan persembahan eksklusif daripada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang menyampaikan lagu Cindai serta Anta Permana dengan diiringi penari-penari daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
HSKU pertama kali dianjurkan pada tahun 1986 dan sejak itu, ia telah menjadi platform buat ramai penulis tersohor memulakan perjalanan sastera masing-masing.
Faisal Tehrani, Azizi Abdullah dan Zainal Rashid Ahmad antara nama besar yang pernah mengungguli anugerah ini.
Malah, Sasterawan Negara seperti Allahyarham Shahnon Ahmad dan Zurinah Hassan juga pernah bergelar pemenang dalam pertandingan penuh prestij ini.
Kali ini, seramai 38 pemenang dalam enam kategori pertandingan diraikan dalam majlis penuh gilang-gemilang di Dewan Besar Utusan.
Antara nama bertuah yang diumumkan sebagai pemenang utama ialah Norshah Aizat Shuaib untuk kategori Cerpen Media Baharu; Sri Rahayu Mohd. Yusop, Nazri Hussein dan Dayang Ku Mastura Pengiran Ismail (Novel Remaja); Roslan Jomel dan Ramlee Wahab (Rencana Sastera); Zainol Idris, Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy dan Syed Mohd. Zakir Syed Othman (Puisi); Saeed Zubeir Zahari, Mohd. Khairul Riza Tuan Mohd. Yusop dan Azman Ismail (Cerpen Umum) serta Nazri Hussein, Maskiah Masrom dan Zainal Rashid Ahmad (Cerpen Remaja).











