SHAH ALAM 3 FEB. -Motosikal Honda Cub yang begitu popular dalam kalangan datuk nenek dan ibu bapa kita sebagai pengangkutan harian utama mereka pada sekitar 1960-an hingga 1980-an kini kembali ke pasaran tempatan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda), Keiichi Yasuda berkata, pihaknya menerima permintaan tinggi daripada peminat kapcai itu di negara ini sejak tahun lalu dan tidak teragak-agak memperkenalkan Super Cub C125 di pasaran tempatan.
Menurutnya, motosikal tersebut sudah pun berada di pasaran tempatan sejak penghujung Januari lalu pada harga jualan RM13,999.
“Kami membawa masuk model ini berikutan permintaan tinggi daripada rakyat tempatan pada tahun lepas.
“Kami yakin mampu menjualnya sebanyak 300 buah pada tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas memperkenalkan Super Cub C125 kepada media di sini, baru-baru ini.
Super Cub C125 dilengkapi enjin SOHC empat lejang berkapasiti 125 cc dengan penyejuk udara selain lampu diod pemancar cahaya (LED) dan sistem kunci pintar.
Terdapat tiga warna pilihan iaitu biru mutiara, merah mutiara dan hitam.
Dalam majlis sama, Keiichi turut melancarkan dua lagi model iaitu CB1100 RS (RM75,999) dan CBR 1000RR SP (114,999).










