KOTA BHARU 28 Feb – Kontinjen Hotel Holiday Villa mencipta sejarah selepas buat julung kali muncul juara kesuluruhan Sukan Antara Hotel anjuran Persatuan Hotel Malaysia negeri ini yang berakhir semalam.
Ini merupakan kali pertama hotel tersebut muncul juara sejak sukan itu diperkenalkan pada tahun 2006 selepas memungut 10 mata menerusi tiga pingat emas dalam acara sukan bola jaring, karom dan perlumbaan pelayan serta satu gangsa melalui bola sepak.
Sementara itu, tempat kedua milik Sudara Beach Resort apabila memperoleh sembilan mata selepas mengumpul satu pingat emas menerusi bola tampar pantai dan tiga pingat perak dalam acara dart, bola jaring serta perlumbaan pelayan.
Tempat ketiga disandang oleh Hotel Grand River View (GRV) yang berjaya memperoleh enam mata dengan dua pingat emas melalui dart dan bola sepak.
Sementara itu Pengurus Besar Hotel Holiday Villa, Mohd. Shaufi Ahmad menyifatkan, kejayaan yang dilakar oleh atlet-atlet hotelnya pada edisi ke-13 itu cukup membanggakan.
“Sebelum kejohanan kami tidak menetapkan sasaran emas daripada enam acara sukan dipertandingkan, tetapi tak sangka dapat tiga. Ini satu kejayaan membanggakan.
“Tetapi, yang paling penting adalah objektif Sukan Antara Hotel 2019 ini dianjurkan, iaitu kita nak jalinkan hubungan lebih erat dalam kalangan peserta-peserta yang bertanding. Saya harap peserta Hotel Holiday Villa dapat meneruskan momentun kejayaan ini pada masa akan datang,” katanya
Sukan Antara Hotel 2019 merupakan acara tahunan itu telah melibatkan 10 hotel terkenal di negeri ini antaranya, Hotel Perdana; GRV; Sutera Inn Prima; The Grand Renai Hotel; Holiday Villa; Sudara Beach Resort; Royal Guest House; PCB Resort; Jewels Hotel dan Crown Garden Hotel.
Sukan tersebut mempertandingkan enam acara iaitu dart; bola tampar pantai; bola sepak; bola jaring; karom dan perlumbaan pelayan bermula pada 17 Februari lalu. – UTUSAN ONLINE










