LONDON 3 Feb.- Eden Hazard menggambarkan pemain baharu Chelsea, Gonzalo Higuain sebagai ‘menakjubkan’ di kotak penalti selepas penyerang Argentina itu meledak dua gol ketika The Blues menewaskan kelab tercorot Huddersfield Town 5-0, semalam.
Higuain disambar Chelsea pada jendela perpindahan Januari dan bangkit daripada kekalahan 4-0 kepada Bournemouth pertengahan minggu lalu.
“Kami semua memerlukannya. Kami melakukannya dengan baik, jadi kami gembira dengan keputusan, cara kami bermain pada hari ini, terutama selepas perlawanan pada Khamis lalu.
“Ia sesuatu yang sukar tetapi saya fikir pengurus mahukan tindak balas,” kata Hazard yang turut meledakkan dua gol menewaskan Huddersfield.
Higuain yang pernah bekerjasama dengan pengurus Chelsea, Maurizio Sarri di Napoli telah menjaringkan 38 gol pada musim terakhirnya bersama kelab Itali itu pada kempen 2015-16.
Tambah penyerang Belgium itu, berkata dia memperoleh manfaat berlatih bersama Higuain sejak 10 hari lalu dan yakin rakan sepasukan itu akan berjaya di England.
“Kami meningkat bersama-sama dan sudah berlatih bersama selama 10 hari. Dia penyerang yang hebat dan boleh mengawal bola serta bermain dengan satu sentuhan.
“Dia bijak di dalam kotak penalti dan menakjubkan, jadi saya fikir dia akan menjaringkan lebih banyak gol selepas ini,” jelasnya.
Chelsea bakal bertemu penyandang juara, Manchester City pada 11 Februari ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), di mana pada permulaan Disember tahun lalu, The Blues berjaya melakar kemenangan 2-0 di Stamford Bridge.- Reuters










