Hiasan corak, logo atas kulit kambing - Utusan Malaysia

Hiasan corak, logo atas kulit kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA di bengkel perusahaan kompang yang terletak di Kampung Padang Balang, Sentul, Kuala Lumpur pada petang itu agak tenang.

Dalam sesak arus pemodenan, Kampung Padang Balang merupakan sebuah kampung tradisi di ibu kota yang sehingga kini terus bernafas dengan pelbagai elemen warisan termasuk perusahaan kompang.

Di bengkel itu kelihatan seorang lelaki sedang tekun menyiapkan tempahan-tempahan kompang yang dipesan pelanggan. Peluh membasahi tubuhnya yang bekerja sejak awal pagi lagi.

Bau hamis kulit kambing yang terbentang di atas lantai untuk dikeringkan bagi membuat kompang menusuk hidung kru K2 yang pertama kali ke bengkel itu.

Royizam Md. Yasin, 40, yang leka menyiapkan kemasan terakhir kompang, menghentikan kerjanya dan menyapa penulis.

Di sekelilingnya terdapat 10 biji kompang yang sudah siap bercorak aneka warna diletakkan di atas meja. Ada juga yang tergantung sebagai hiasan.

“Saya sekarang dalam proses kemasan akhir kompang iaitu mewarnainya membentuk logo. Selepas ini ia akan dijemur selama dua jam sehingga kering sepenuhnya.

“Dengan adanya corak seperti logo, peralatan tradisional ini bertambah cantik dan berseri serta menjadi tarikan kepada sesiapa sahaja yang memandang,” katanya ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini.

Bengkel yang berusia 44 tahun itu adalah milik warga emas, Muhammad Kamaruddin, 73, yang merupakan seorang pengusaha dan pemain kompang yang popular satu ketika dahulu di Kuala Lumpur.

Bengkel yang ditubuhkan pada 1975 itu menyediakan perkhidmatan membuat dan membaik pulih kompang selain memberi tunjuk ajar kepada golongan muda tentang kemahiran bermain instrumen muzik itu.

Bengkel ikonik itu begitu popular pada era sebelum 90-an dan sering dikunjungi pelancong.

Pada masa ini, perusahaan kompang atau khidmat memperindah peralatan tradisional itu bukanlah suatu yang mudah ditemukan apatah lagi di ibu kota.

Identiti

Royizam yang kini merupakan penggerak bagi bengkel itu berbicara tentang seni mencorak kompang dengan pembuatan logo yang ditawarkan di bengkel tersebut.

Menurut bapa kepada dua orang anak itu, ideanya untuk mengusahakan perkhidmatan membuat logo kompang mula timbul pada sekitar 2012 semasa dia menyertai pasukan Kompang Hadrah Sri Kerayong, Setapak, Kuala Lumpur.

“Pada masa itu, permintaan meletakkan logo di kompang meningkat dalam kalangan pemain kerana ia menjadi lambang identiti sesebuah kumpulan kompang.

“Awalnya, ramai pemain yang menconteng sahaja dengan pen marker di kompang mereka tetapi tidak tahan lama.

“Dari situ, saya mula terfikir untuk menghasilkan logo kompang yang berkualiti dan tidak mudah luntur,” kata bekas Yang Di Pertua Pertubuhan Kompang, Hadrah dan Ria Malaysia itu.

Lelaki dari Setapak itu mula bekerjasama dengan Muhammad yang sudah uzur untuk menggerakkan bengkel itu pada 2012.

Bertitik tolak selama enam bulan membuat percubaan dengan menggunakan pelbagai pen marker serta bermacam-macam pewarna seperti cat minyak dan cat air mendapati bahan-bahan tersebut tidak bersesuaian dengan tekstur kulit kambing.

“Setelah melakukan beberapa uji kaji, akhirnya saya bertemu dengan sejenis cat akrilik yang sesuai dan tahan lama.

“Namun masalah lain pula timbul apabila stok jenis cat ini sukar didapati di sini dan ia hanya jual di Singapura.

“Saya terpaksa turun ke Singapura setiap kali kehabisan stok,” katanya yang pernah menerima gelaran Tokoh Silaturahim Penggiat Kompang Nusantara 2017.

Tambah Royizam yang dikenali sebagai PQ oleh rakan-rakan, sebenarnya ia bukanlah cat khas untuk melukis logo kompang, namun setelah membuat uji kaji ternyata cat jenis pearacent itu sangat berkualiti.

Jelasnya, warna cat itu tidak mudah luntur dan ia menyerap ke dalam kulit kambing kompang tanpa memberi kesan kepada mutu bunyian kompang.

Bercerita tentang teknik, PQ menjelaskan, dia menampal pelekat (sticker) blok bercorak logo terlebih dulu sebagai panduan untuk mengecat.

“Pertama saya akan membuat pelekat mengikut tempahan reka bentuk logo yang pelanggan berikan.

“Caranya pelekat berlubang mengikut coraknya itu akan ditampal dan saya akan warnakan mengikut alurnya supaya cat itu tidak berselerak ke tempat lain. Setelah siap dicat, pelekat itu ditanggalkan,” ujarnya.

Katanya lagi, harga yang diambil untuk hiasan logo kompang hanyalah sekitar RM60 hingga RM70 setiap kompang.

Kata Royizam yang mempunyai pelanggan sejauh Singapura, pelanggan boleh menyediakan rekaan logo kompang mereka sendiri atau memintanya untuk membuat rekaan.

Kekemasan

Selain menghias kompang dengan logo, Royizam berkata, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan menghias keliling kompang dengan reben kain dan paku.

Pelanggannya, Masrizal Syuhairi Mohd Akhir, 43, yang merupakan peminat kompang dan merupakan ahli sebuah kumpulan kompang di Bukit Beruntung, Selangor berkata, hasil kerja Royizam sangat kemas dan warna yang digunakan pula kelihatan berkilat.

Tambah Masrizal Syuhairi, meletakkan logo pada kompang juga sangat membantu bagi mempromosikan kumpulannya.

Katanya, logo pada kompang itu memberi tarikan kepada orang ramai apabila mereka membuat persembahan.

“Selain cara mempersembahkan persembahan kompang, logo pada kompang juga serba sedikit membantu menonjolkan kumpulan kami dan boleh dibezakan dengan kumpulan lain,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha corak kompang, Mohamad Ikhmal Izzuan Azman, 20, yang cenderung kepada kaedah cop atau pelekat biasa berpendapat, penggunaan pelekat itu membolehkan pemilik kompang menanggalkannya apabila sudah tidak mahu menggunakan corak atau bentuk logo itu lagi.

“Malah cara pembuatannya juga tidak memerlukan kos yang tinggi. Harga tempahan yang ditawarkan juga murah iaitu RM30 satu pelekat” katanya yang sudah lima tahun mengusahakan perkhidmatan itu di Cheras, Kuala Lumpur.

Ditanyakan tentang cabaran mengusahakan perkhidmatan itu, Mohamad Ikhmal Izzuan yang juga seorang pemain kompang berkata, kini tempahan semakin berkurangan kerana orang sudah kurang memainkan kompang dalam majlis-majlis termasuk perkahwinan.

“Malah, untuk mencari pemain-pemain kompang juga agak sukar,” ujarnya.

Bagi Ikhmal Izzuan, golongan muda kini kurang meminati alat tradisional itu kerana semakin diresapi budaya Barat.

“Kebanyakan generasi muda tidak gemar untuk mewarisi kemahiran bermain kompang kerana kemungkinan mereka menganggap ia muzik lama dan membosankan.

“Namun, bagi saya kompang bukan sekadar hiburan tetapi ia satu alatan tradisi Melayu yang harus dijaga selain memberi manfaat buat pemain kerana selalu dimainkan bersama alunan selawat kepada Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Corak atau logo pada kompang menambah seri instrumen tradisional Melayu itu yang semakin terpinggir dalam arus pemodenan hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN