KUALA LUMPUR 4 Feb. – Pengeluar pakaian, Guzelhive International Sdn. Bhd. (Guzelhive) bekerjasama dengan Yayasan MyPrihatin untuk mengisi tabung MyHeart bagi membantu pesakit jantung kronik di negara ini.
Menerusi kerjasama tersebut, setiap helai telekung jenama Heliza Guzelhive yang dijual, sebanyak RM5 akan disumbangkan ke dalam tabung berkenaan.
Pengurus Heliza Guzelhive, Noor Suzieyana Azmi berkata, penubuhan tabung tersebut merupakan kesinambungan kerjasama sedia ada antara Yayasan MyPrihatin dengan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) sebelum ini.
“Dengan adanya sumbangan daripada hasil jualan telekung Heliza Guzelhive ke tabung ini, Yayasan MyPrihatin dapat membantu membawa pesakit ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan dengan menanggung segala kos seperti logistik dan sara diri.
“Seterusnya menanggung rawatan seperti pembedahan di IJN,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Heliza Instant Telekung, di sini hari ini.
Yang hadir sama ialah Pengasas Yayasan MyPrihatin, Muhd. Al-Bazli Bakar dan artis terkenal, Heliza Helmi.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan ke Tabung MyHeart boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 564801648485 di atas nama Yayasan MyPrihatin. – UTUSAN ONLINE










