Helah perokok elak tiga meter - Utusan Malaysia

Helah perokok elak tiga meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meskipun kebanyakan pengusaha dan pengunjung akur dengan larangan merokok di premis makanan, namun ada yang masih keliru tentang jarak tiga meter yang dibenarkan untuk merokok.

Kekeliruan itu juga menyebabkan ada pengunjung mengikut kiraan sendiri meskipun jarak mereka merokok kurang daripada yang dibenarkan dan masih hampir dengan tempat pengunjung lain sedang menikmati makanan masing-masing.

Penulis mendengar rungutan ini ketika meninjau beberapa premis makanan di sekitar Lembah Klang selepas Kementerian Kesihatan mengeluarkan larangan merokok di semua premis makanan. Ia meliputi sama ada premis makanan berhawa dingin atau tidak termasuk di dalam dan luar bangunan kedai makan, restoran dan medan selera, bermula 1 Januari lalu.

Larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 menyebut perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Di sebuah gerai masakan Thailand di Taman Melawati, Ulu Kelang, sambil menikmati nasi goreng, penulis bertanya kepada seorang pekerja medan selera di situ mengenai larangan merokok.

Memperkenalkan dirinya sebagai Ina dia berkata, pada minggu pertama pelaksanaan peraturan itu, mereka tidak berhadapan masalah kerana kebanyakan pengunjung yang merokok mengikut arahan.

Namun, ada cerita menarik mengenai ragam perokok di medan selera itu sebaik sahaja larangan merokok memasuki awal minggu kedua.

“Paling saya tidak dapat lupa apabila menegur seorang pak cik yang merokok di mejanya. Saya cakap dengan baik kalau hendak merokok kena kira jarak tiga meter tetapi jawapan diberikannya sangat kelakar.

“Dia menyatakan sudah kira jarak tiga meter iaitu bermula dari dapur gerai sehingga ke mejanya. Katanya, itu sudah mencukupi jarak tiga meter sehingga membuatkan saya tergamam,” katanya.

Menurutnya, ada juga perokok yang memenuhi ketagihan merokoknya di meja sudut paling tepi berdekatan dengan tempat letak motosikal di medan selera tersebut. Perokok itu kemudian kembali ke mejanya untuk menjamu selera.

“Apabila ditegur, mereka menegaskan meja itu sudah boleh dianggap memenuhi jarak tiga meter kerana dikira dari meja pertama berdekatan dengan gerai ini,” katanya.



TIDAK HIRAU DENDA


Selain kekeliruan tersebut, anak kepada pemilik sebuah restoran mamak di Setiawangsa yang dikenali sebagai Muhammad berkata, ada juga perokok yang degil merokok di meja makan kerana beranggapan denda dikenakan tidaklah banyak.

“Sejak ada kes pekerja restoran nasi kandar kena tampar, pekerja kami tidak berani menegur. Biasanya mereka suruh saya yang tegur.

“Setakat ini semuanya patuh apabila saya tegur. Mereka tahu mengenai larangan itu tetapi tidak tahu mengenai akta, denda yang bakal dikenakan dan disebabkan itu masih ada yang ambil remeh dan terus merokok di dalam restoran.

“Tetapi, apabila saya beritahu mereka mengenai akta dan denda yang akan dikenakan, mereka mula takut,” katanya.

Menariknya, restoran itu bukan sahaja menampal tanda larangan merokok di setiap sudut, bahkan hampir setiap meja turut dilekatkan poster kecil serta membuat satu banting khas mengenainya yang digantung berdekatan restoran itu.

Muhammad berkata, poster larangan merokok yang ditampal sepatutnya mempunyai maklumat lengkap beserta akta dan denda yang bakal dikenakan.

“Saya silap kerana tak cetak maklumat berkaitan akta dan denda. Saya rasa maklumat berkenaan patut ada dalam poster, selain talian hotline kementerian yang boleh dihubungi sekiranya pemilik restoran atau pengunjung berhadapan dengan perokok yang degil,” katanya.

BERI AMARAN

Untuk enam bulan pertama pelaksanaan peraturan ini, kementerian akan menggunakan pendekatan memberi amaran lisan dan pendidikan terlebih dahulu kepada perokok dan pemilik restoran yang ingkar.

Selepas tamat tempoh itu, perokok yang ditahan di kawasan larangan merokok akan didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Pemilik premis makanan yang tidak mempamer tanda larangan merokok pula boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan manakala bagi kesalahan gagal memastikan pelanggan tidak merokok, akan didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.

Sejak larangan itu berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dipetik berkata, sebanyak 13,724 amaran bertulis dikeluarkan dan 75, 280 nasihat diberikan kepada individu sehingga 8 Januari.

Anggota penguatkuasaan kementerian setakat 8 Januari telah melawat 30,548 tempat makan termasuk yang beroperasi 24 jam dan sebanyak 76,274 risalah telah diedar dalam usaha mendidik perokok.

“Bagi memastikan kejayaan program ini, kita tidak boleh mengharapkan pihak kementerian sahaja. Orang ramai, perokok dan pemilik restoran perlu bekerjasama, Selepas habis stok rokok ini saya tidak akan menjual lagi rokok di restoran ini,” katanya.

Selain itu, orang ramai boleh bertindak sebagai mata dan telinga dengan menghubungi pihak kementerian sekiranya ternampak perokok 
degil untuk bekerjasama. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×