KUALA TERENGGANU 12 Feb. – Muhammad Khairul Haziq, anak sulung kepada pasangan Mohd. Khairulinzam Jusoh, 38, dan Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, yang maut dalam kemalangan di Kampung Pengkalan Atap dekat Batu Rakit, Sabtu lalu masih tidak mengetahui ibu-bapa dan adik bongsunya, Nur Khaira Aisyah, lapan bulan, telah meninggal dunia.
Ibu saudaranya, Nurul Fatihah Jusoh, 34, berkata, mereka sekeluarga terpaksa merahsiakan
perkara tersebut daripada pengetahuan Muhammad Khairul Haziq sehingga keadaan
kanak-kanak berusia lima tahun itu lebih stabil.
Katanya, kanak-kanak malang itu dijadual menjalani pembedahan rahang gigi dan kaki kirinya di
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pagi ini namun, prosedur itu ditangguhkan pada
sebelah petang.
“Semasa hari pertama di hospital, sokmo (selalu) dia panggil papa, ibu dan adiknya. Dia tak
pernah berpisah dengan ayahnya. Malam-malam pun jururawat beritahu dia mengigau.
“Haziq budak yang banyak cakap tetapi selepas kemalangan dia berubah jadi pendiam. Itu yang
buat kita lagi sedih. Memang kita nampak dia macam sihat tetapi jiwanya kita tak tahu. Apabila
ramai ahli keluarga datang melawat, saya nampak mata dia macam mencari-cari ibu bapanya,”
katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu diwakili Pengarahnya, Nora
Yaacob menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada ibu Mohd.
Khairulinzam, Wook Awang, 68, di kediamannya di Kampung Paloh Tuan Sulong di sini.
Kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi Sabtu lalu itu turut mengorbankan nenek dan bapa saudara
Muhammad Khairul Haziq iaitu Rozilawati Mustafa@Razali, 43, dan Muhammad Nashrullah Salleh, 5. – UTUSAN ONLINE










