HANYA lima daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji telah menyerahkan dokumen kewangan semalam yang merupakan tarikh akhir penyerahan.
Bagaimanapun, identiti pasukan yang telah dan gagal menyerahkan dokumen tersebut tidak didedahkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ekoran ingin menjaga kepentingan pasukan yang turut menjadi rakan kongsi MFL.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd. yang sekali lagi memberi peringatan kepada pasukan yang terlibat supaya lebih serius dalam usaha menangani krisis kewangan bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) 2019.
“Hari ini (semalam) adalah tarikh tutup untuk ketujuh-tujuh pasukan mengemukakan bukti-bukti pembayaran yang sudah dibuat dan setakat jam 5 petang kami hanya menerima dokumen daripada lima pasukan sahaja.
“Sekretariat MFL akan membuat semakan lebih terperinci sama ada dokumen yang dihantar itu lengkap seperti mana yang kita inginkan tetapi dua lagi pasukan belum menyerahkan dokumen yang kita mahukan setakat ini.
“Kita sudah memberi ruang dan masa secukupnya kepada setiap pasukan mengumpul segala dokumen dan menyerahkan kepada MFL dan saya percaya semua pasukan sedia maklum dengan peraturan ini. Kita seboleh-bolehnya ingin membantu mereka tetapi ia juga ada hadnya,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MFL semalam.
Sementara itu, Shazli enggan mengulas berhubung tindakan yang akan diambil ke atas pasukan yang gagal menghantar dokumen kewangan atau menyerahkan dokumen tidak lengkap ekoran perkara tersebut akan diserahkan dan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL.
“Semua sudah sedia maklum impaknya yang mana ia mungkin akan memberi kesan kepada geran tahunan yang akan kita berikan kepada setiap pasukan iaitu RM3 juta kepada pasukan yang beraksi di Liga Super manakala RM1 juta kepada pasukan Liga Premier.
“Jika perkara ini gagal dilaksanakan, salah satu penalti yang akan kita gunakan ialah pemotongan geran dan selebihnya akan diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan,” katanya.










