KUALA LANGAT – Gara dikatakan bercinta dengan seorang remaja, seorang guru ditumbuk di bahagian muka oleh dua lelaki termasuk bapa saudara remaja perempuan berkenaan
dalam kejadian di tepi Jalan Damai 15, Taman Damai Morib di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 38 tahun yang merupakan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Simpang Morib, Banting dikatakan mengalami bengkak di hidung.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang juga kaunselor di sekolah tersebut telah berjumpa dengan seorang remaja perempuan India berusia 19 tahun yang ditemani bapa saudaranya berusia 37 tahun.
Katanya, ketika pertemuan itu dilakukan bapa saudara perempuan tersebut yang merupakan buruh kasar berada dalam keadaan mabuk dan agresif.
“Bagaimanapun, perbincangan tersebut menjadi tegang apabila remaja tersebut memarahi mangsa kerana menganggu hidupnya.
“Sewaktu mangsa ingin menghubungi pihak polis, bapa saudara remaja tersebut bersama rakannya telah menumbuk mangsa di bahagian hidung sehingga berdarah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Beliau yang terkejut dengan tindakan mangsa kemudiannya melarikan diri sebelum menghubungi pihak polis.
Ujar Azizan, polis yang melakukan siasatan lanjut kemudiannya berjaya menahan bapa saudara perempuan berkenaan di Taman Delima, Banting pukul 2.30 pagi semalam.
“Soal-siasat mendapati suspek mengaku terlibat memukul selain membuat provokasi ugutan jenayah kepada mangsa dan polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang telah dikenalpasti.
“Motif kejadian dipercayai akibat salah faham antara hubungan mangsa dan remaja perempuan tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun sama menyebabkan cedera,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azizan turut menafikan dakwaan mangsa seperti yang tular di laman sosial Facebook miliknya bahawa wujud isu gangsterisme dalam kes tersebut selepas risikan dan operasi dijalankan pihaknya.
“Hasil siasatan mendapati keterangan mangsa didapati tidak konsisten berhubung kes gangsterisme itu.
“Semakan juga mendapati mangsa masih menjalani rawatan psikiatri di Hospital Klang dan Banting sejak 2013,” katanya. – K! ONLINE










