PUTRAJAYA 13 Feb. – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, beliau tetap dengan pendirian mengecam kenyataan Datuk Shabudin Yahaya berikutan cadangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu agar mangsa rogol mengahwini pelakunya sebelum ini.
Pendirian itu kekal katanya, biarpun Shabudin telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam, iaitu salah satu parti dalam gabungan politik Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada bekas wakil rakyat UMNO itu masih berpegang dengan kenyataan tersebut atau pun sebaliknya.
“Itu saya kecam dan hari ini saya tetap kecam juga. Saya tidak tahu sama ada Shabudin masih berpegang dengan pendirian ini atau tidak. Soalan ini perlu dijawab olehnya sendiri.
“Pada saya, sesiapa mempunyai pendirian seumpama ini iaitu mangsa rogol mengahwini perogol, perlu dikecam dan tidak patut dibenarkan. Saya tegas dengan pendirian saya. Ini saya rasa dia perlu jawab,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Tahfiz Yang Berdaftar di sini hari ini.
Beliau mengulas penyertaan Shabudin ke dalam Bersatu bersama enam lagi bekas wakil rakyat UMNO semalam.
Guan Eng ketika memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini menyatakan bahawa negeri itu berasa malu untuk mempunyai ahli Parlimen ‘raksasa’ (monster) susulan kenyataan Shabudin terbabit.
Sementara itu, ditanya berhubung isu lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan memberitahu, lawatan itu tidak diluluskan oleh kementeriannya tetapi Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia.
Totalisator Malaysia merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.
Guan Eng berkata, pihaknya akan menyemak tentang keperluan untuk meluluskan lawatan seumpama itu pada masa hadapan.
“Prosedur sekarang adalah selagi ada kelulusan lembaga pengarah, mereka tidak perlu rujuk kepada kementerian. Dan selepas ini kita hendak tengok apakah perlu Totalisator Malaysia mendapat kelulusan untuk perkara seumpama itu,” katanya.
Beliau menambah, kementerian tidak memberi satu sen pun kepada Totalisator Malaysia sebaliknya syarikat itu mendapat dana dari syarikat nombor ramalan. – UTUSAN ONLINE










