KUALA LUMPUR – Sekumpulan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand, Vietnam dan Indonesia antara yang ditahan terlibat servis pelacuran yang berselindung di sebalik spa dalam Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram di sebuah premis di ibu negara awal pagi tadi.
Dalam serbuan yang bermula pada pukul 1 pagi dan berakhir pada pukul 3.30 pagi itu disertai oleh 243 pegawai daripada pelbagai agensi antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, seramai tujuh wanita Vietnam, enam wanita Thailand dan selebihnya wanita Indonesia berusia antara 20 hingga 31 tahun telah ditahan di sebuah spa di Jalan Cheras di sini.
“Tarikan utama di premis tersebut adalah pelanggan akan menerima perkhidmatan spa dan urutan sebelum melakukan aktiviti tidak bermoral itu.
“Mereka akan menerima bayaran sebanyak RM200 untuk setiap sesi layanan,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai operasi berkenaan di sini awal pagi tadi.
Azman menambah, premis tersebut turut menyediakan bilik-bilik yang dilengkapi dengan katil dan bilik mandi bagi memudahkan mereka melayan pelanggan.
“Gadis-gadis ini hanya akan berada di satu lokasi selama seminggu sebelum dibawa ke tempat lain oleh ‘bapa ayam’ mereka.
“Mereka juga terpaksa tinggal bersesak di sebuah bilik yang kecil sebelum melayan pelanggan,” ujarnya.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan permit bekerja dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Dalam serbuan berasingan, Azman berkata, pihaknya memeriksa lesen perniagaan sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), di sini.
“Kita dapati hotel itu tidak ada lesen dan ia dihuni pelancong dengan caj RM70 untuk satu malam. Sitaan dan penutupan premis itu dilakukan mengikut Seksyen 3(3) Akta Hotel 2003,” katanya. – K! ONLINE










