Genting Berhad teroka teknologi rawat Alzheimer - Utusan Malaysia

Genting Berhad teroka teknologi rawat Alzheimer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Genting Berhad berharap agar usaha syarikat itu menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi mencari rawatan terbaharu mengesan penyakit Alzheimer memberi manfaat kepada pelbagai pihak di negara ini.

Pengerusi Genting Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, pihaknya telah membuat pelaburan besar dengan syarikat bioteknologi dan sains antarabangsa serta berharap menerusi kerjasama dengan universiti dan penyelidik tempatan dapat membawa teknologi terkini bagi merawat penyakit tersebut.

“Penghidap demensia, keluarga serta penjaga mereka semestinya memerlukan bantuan dan sokongan daripada kami selagi mana penawarnya belum ditemukan.

“Malah, kami juga berharap menerusi usaha itu mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena memperingati Hari Pengasas Genting di Hotel Istana, di sini malam ini.

Dalam majlis sama, Kok Thay menyerahkan plak penghargaan kepada Bahagian Geriatrik, Universiti Malaya (UM) sebagai simbolik penyerahan Pusat Penjagaan Demensia baharu di bawah seliaan universiti itu.

UM diwakili oleh Pakar Perubatan merangkap Pengarah pusat tersebut, Prof. Dr. Tan Maw Pin dan disaksikan oleh Pengurus pusat itu, Muhammad Mujada Rosli.

Pusat itu dibina dan direka untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan harian bagi mereka yang mengalami penyakit demensia yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh Genting Berhad sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN