JASIN 27 Feb. – Polis daerah ini menahan seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan samun ‘Geng Vickey’ yang menyamun wang tunai berjumlah RM40,000 daripada seorang kerani kewangan wanita di sebuah pejabat di Bemban, di sini baru-baru ini.
Suspek yang berusia 27 tahun ditahan di Tanjung Minyak berhampiran sebuah sekolah di Cheng pada pukul 2.30 petang 19 Februari lalu oleh sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Polis Kontinjen Melaka dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, suspek dipercayai bersama rakannya yang masih bebas telah melakukan jenayah samun berkawan secara bersenjata di pejabat berkenaan pada 13 Februari lalu.
“Mangsa yang berusia 40 tahun sebelum itu mengeluarkan wang tunai RM50,000 dari sebuah bank di daerah ini dan pulang ke pejabat. Salah seorang suspek menyerbu masuk pejabat itu kira-kira pukul 3.10 petang, iaitu sejam selepas mangsa pulang.
“Suspek bersenjatakan parang panjang melarikan wang tunai RM40,000 kerana bakinya sudah diurusniagakan oleh mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Jasin di sini petang ini.
Susulan kejadian itu, Arshad berkata, polis melancarkan gerakan memburu kedua-dua suspek dan berjaya menangkap salah seorang daripada mereka yang dipercayai menunggu di luar pejabat menaiki sebuah motosikal.
Ketika ditahan, selain wang tunai RM3,000, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC, topi keledar dan telefon bimbit mangsa.
“Polis percaya baki wang samun itu masih berada pada dalang kegiatan tersebut iaitu Vickey iaitu suspek yang memecah masuk pejabat berkenaan.
“Sehubungan itu polis sedang mengesan seorang lelaki, G. Vicknaeswaran, 26, yang beralamat terakhir di JB 6289, Jalan Desa Kesang 6, Taman Desa Pajak, Jasin bagi membantu siasatan,” katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata.
Dalam perkembangan lain, Arshad memberitahu, pihaknya manahan dua lelaki yang terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Kesang baru-baru ini mengakibatkan mangsa seorang surirumah kerugian RM1,300.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berusia 18 dan 21 tahun itu terlibat dalam kes pemalsuan wang tunai pada 2017.
“Mereka dipercayai bersama seorang lagi rakan telah memalsukan tiga keping wang tunai RM100 untuk ditukar dengan wang RM300 milik seorang wanita pada 30 Oktober 2017.
“Rakan mereka yang berusia 22 tahun sebelum itu telah ditahan pada 5 November tahun yang sama dan telah didakwa dan dihukum penjara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











