TANGKAK – Kegiatan Geng Kepala Gajah yang aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak setahun lalu akhirnya tumpas apabila empat ahlinya diberkas polis semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, suspek yang berusia antara 23 hingga 54 tahun itu diberkas kurang 12 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Bukit Gambir di sini.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak kemudian membuat serbuan di sebuah kediaman di Taman Sri Jaya Bukit Gambir di mana lokasi itu merupakan kediaman sewa suspek.
“Hasil serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu, keempat-empat suspek diberkas dan polis menemui pelbagai peralatan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tangkak di sini hari ini. – K! ONLINE











