KUALA LUMPUR 16 Feb. – Blok pembangkang Sabah, Gabungan Bersatu Sabah (GBS) bersedia untuk menerima penyertaan bekas kepemimpinan UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut sumber dalam GBS, bentuk kerjasama antara GBS dengan Bersatu bagaimanapun akan diputuskan kelak berdasarkan perbincangan semua pihak khususnya kepimpinan parti dalam GBS.
“Kita boleh menerima mereka meskipun bukan lagi ahli UMNO seperti mana yang kita wujudkan GBS dahulu. Ini bukan soal parti, tetapi keserasian untuk duduk bersama.
“Namun GBS akan menentukan sama ada penyertaan Bersatu dalam gabungan ini sama ada sebagai ahli ataupun hanya dalam bentuk kerjasama akan ditentukan kemudian,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
GBS ditubuhkan secara rasmi pada pada 24 Oktober 2018 dengan penyertaan semua parti pembangkang negeri iaitu UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dengan melantik Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai Pengerusi sementara. – UTUSAN ONLINE










