PULAU PINANG 7 Feb. – Seorang gadis pesakit mental nyaris maut selepas membakar dirinya menggunakan minyak petrol dalam kejadian di Kuaters Kerajaan Negeri, Jalan Air Itam di sini tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang berumur 30 tahun mengalami kecederaan serius selepas terbakar hampir 40 peratus pada bahagian muka, badan, tangan dan kaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, kejadian itu disedari abang mangsa yang ketika itu berada di rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan adiknya yang berada di luar rumah.
Katanya, sebaik sahaja melihat adiknya terbakar, abang mangsa yang berusia 31 tahun cuba memadamkan api dengan menyimbah air dengan dibantu dua anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.
“Abang mangsa pada mulanya telah menghubungi ambulans selepas mendapati terdapat kesan luka torehan dengan pisau pada dada mangsa yang didakwa berlaku pada Ahad lalu.
“Bagaimanapun, sebelum sempat ambulans tiba, mangsa telah bertindak keluar dari rumah dan membakar diri menggunakan minyak petrol yang dijumpai di dalam botol,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan semakan lanjut juga mendapati dia mempunyai rekod rawatan psikiatri di sebuah klinik di sini.
Tambahnya, mangsa tinggal bersama ibunya di rumah berkenaan namun pada hari kejadian berada di Kuala Lumpur kerana urusan keluarga.
“Memandangkan mangsa mempunyai kad psikiatri, kita akan merujuk kes ini kepada pihak hospital untuk rawatan selanjutnya terhadap mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










