'Formula ajaib' PH tinggal harapan - Utusan Malaysia

‘Formula ajaib’ PH tinggal harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 6 Feb. – Rakyat Malaysia, terutama bangsa Melayu mesti mencari pedoman baharu untuk negara yang telah berubah sekali gus tidak lagi bergantung kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang belum lagi mempunyai ‘formula ajaib’ untuk mengemudi Malaysia.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia sudah pasti berterima kasih kepada sumbangan Perdana Menteri, namun, rakyat negara ini harus mengambil pandangan jauh dan ke hadapan.

Malah, katanya, harapan pengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang mengharapkan Dr. Mahathir mempunyai ‘formula ajaib’ untuk menyelesaikan masalah negara juga ternyata tinggal harapan, rakyat Malaysia tidak merasai perubahan yang dijanjikan.

Tambahnya, kemajuan rak­yat lebih penting daripada membicarakan mengenai sengketa Dr. Mahathir dan Datuk Seri Najib Tun Razak atau ketulenan hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

“Semua itu sangat merugikan bangsa Melayu dan Malaysia. Ingatlah ramai orang Melayu yang memilih PH bukan kerana mereka terlalu mahukan Dr. Mahathir, tetapi kerana mereka tidak suka kepada kepemimpinan lama dan masalahnya.

“Jadi, adalah sangat tidak bertanggungjawab jika Tun Dr. Mahathir dan kerajaan hanya menyerahkan nasib negara untuk dicorakkan oleh sekelompok ‘kakistokrasi’ yang semakin mencemaskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled juga berpendapat, era Dr. Mahathir sudah berakhir dan ia dapat dirumuskan apabila tiada pemikiran serta kecerdasan baharu selama sembilan bulan PH memerintah sekali gus menyifatkan negara ini tidak boleh dipanggil Malaysia Baharu tetapi Malaysia yang sengsara.

Ini kerana, katanya, Malaysia kini terperangkap dengan keghairahan mendamba pembaharuan tetapi sangat tersepit dengan pemikiran, naratif dan pendekatan lama.

“Kereta nasional, dasar pandang ke timur, pelaburan Jepun, persengketaan berterusan de­ngan Singapura, serangan ke atas ringgit oleh Amerika. Semuanya deja vu yang kembali bertalu-talu. Perkara dan dasar sama diulang-ulang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN