KUALA LUMPUR 27 Feb. – Flat di Taman Lestari Putra (Lep) 7, Seri Kembangan dekat sini yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun kini didakwa disalah guna warga asing apabila beberapa unit dijadikan `sarang’ penempatan mereka.
Penduduk rumah teres berhampiran mendakwa, flat berkenaan telah siap dibina namun tidak mengetahui punca mengapa belum diserahkan kepada pembeli menyebabkan warga asing berani untuk tinggal di situ.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, bahagian luar bangunan itu masih cantik malah tiada semak samun.
Berdasarkan pemerhatian, beberapa unit kelihatan berpenghuni berdasarkan perabot dan langsir yang dipasang.
Lebih memperkukuhkan dakwaan terdapat beberapa buah kereta diletakkan di ruang parkir di flat.
Kelibat beberapa warga asing juga dilihat keluar masuk ke kawasan flat itu melalui satu jalan kecil memandangkan laluan masuk utama dirantai.
Pemilik taska, Nor Azita Idris, 40, berkata, flat yang dibina sejak 2005 itu telah lama dihuni oleh warga asing namun penduduk setempat tidak membuat sebarang aduan.
“Kawasan flat ini berhampiran dengan rumah teres di sini. Jadi, setiap kali kami lalu di hadapan perumahan ini pasti ternampak kelibat beberapa warga asing terutama warga Indonesia keluar masuk.
“Pada sebelah malam, beberapa unit di situ terdapat cahaya terang. Tak tahulah di mana sumber elektrik diperolehi” katanya.
Peniaga yang mahu dikenali sebagai Kak Anne, 34, yang tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun mengakui jumlah warga asing di sekitar kawasan itu semakin meningkat.
“Kita tidak tahu mereka ada permit atau tidak.
“ Sudah lama mereka tinggal di flat tersebut namun tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa,” katanya.
Ujarnya, walaupun sehingga hari ini tiada sebarang kejadian jenayah melibatkan warga asing ia tetap menimbulkan kebimbangan.











