Fenomena antivaksin ‘berbahaya’ - Utusan Malaysia

Fenomena antivaksin ‘berbahaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 6 Feb. – Fenome­na antivaksin dikategorikan sebagai ‘berbahaya’ yang boleh menjadi krisis kesihatan global sama seperti jangkitan HIV.

Menurut laporan Daily Mail, amaran itu dinyatakan oleh seorang doktor di Maryland de­ngan pandangan skeptikal terhadap vaksin boleh membawa krisis dengan kadar ‘pengecua­lian telah meningkat tinggi di Amerika Syarikat (AS)’.

Dalam pandangannya yang di­siarkan USA Today, Dr. Amesh Adalja dari Pusat Keselamatan Kesihatan John Hopkins University berkata, orang ramai mungkin terkejut bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menamakan antivaksin sebagai salah satu daripada 10 ancaman kepada kesihatan global tahun ini.

“Sudah tentu, keraguan terhadap vaksin yang dibuat secara sukarela tidak boleh disamakan dengan virus HIV yang membunuh 35 juta orang.

“Bagaimanapun, jika difikirkan secara sepenuhnya antivaksin dan apa diwakilinya, rumusan WHO adalah berasas,” katanya.

Tambahnya, gerakan antivaksin bukan baharu tetapi te­lah mendapat tempat beberapa tahun lalu, terutama di New York dan Washington yang mana ke­duanya berdepan dengan wabak demam campak.

Jelasnya, vaksin adalah ‘salah satu pencapaian yang paling besar dalam sejarah manusia’.

Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menjelaskan, vaksin telah menyelamatkan kira-kira sembilan juta nyawa setiap tahun di seluruh dunia.

Sesetengah antivaksin menegaskan vaksin diperbuat daripada bahan kimia yang tidak asli dan tidak selamat manakala yang lainnya berpendapat vaksin membebankan sistem ketahanan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN