GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan empat penerbangan ihsan sejak Jumaat lepas bagi membantu mengeluarkan pesakit daripada kalangan masyarakat Orang Asli di Gua Musang mendapatkan rawatan perubatan.
Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, kejadian terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Arguel Amri yang diserang asma kronik di Pos Gob di sini.
“Penerbangan ihsan hari ini yang menggunakan helikopter Agusta Aw139 itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 11.45 pagi tadi untuk mengambil mangsa sebelum mendarat di perkampungan tersebut pada pukul 1 tengah hari tadi.
“Ia berikutan kesukaran penduduk untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) berikutan jalan balak yang masih rosak teruk,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd Farhan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai keadaan mangsa selepas dihubungi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada pukul 9 pagi tadi sebelum melakukan penerbangan ke lokasi.
Sebelum itu beliau memberitahu, sejak Jumaat lepas pihaknya turut membantu mengeluarkan tiga pesakit kritikal daripada penempatan Orang Asli di Pos Balar dan Simpor dengan menggunakan helikopter jenis Mi-17-IV.
Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak 40 penerbangan ihsan dilaksanakan di jajahan ini khususnya menghantar pesakit Orang Asli ke HGM dan paling banyak dilakukan berbanding di penempatan masyarakat Orang Asli di kawasan lain di negara ini. – Bernama










