JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi jaminan bahawa elaun sara hidup nelayan dan bantuan subsidi kepada petani akan tetap diteruskan.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, tidak ada isu untuk pihak kementerian memberhentikan bantuan dan subsidi ini.
“Cuma apabila saya mengambil alih teraju kepimpinan kementerian sejak 21 Mei 2018 saya telah meminta pegawai-pegawai membuat semakan pemutihan terhadap khususnya dua golongan.
“Ini kerana terdapatnya fakta-fakta atau statistik yang mengelirukan saya tentang berapakah jumlah sebenar pesawah dan nelayan yang sepatutnya layak menerima bantuan dan subsidi daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis meraikan Tahun Baru Cina di Amitabha Malaysia di Taman Tasek di sini hari ini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai mengulas isu tersebar luas yang mendakwa pihak kementerian memberhentikan bantuan elaun sara hidup dan subsidi kepada golongan petani dan nelayan.- K! ONLINE.










