RIYADH 24 Feb. – Arab Saudi semalam melantik Puteri Reema binti Bandar sebagai duta wanita pertama Riyadh ke Amerika Syarikat (AS), satu langkah penting dipercayai bagi memulihkan hubungan antara kedua-dua negara yang terjejas teruk berikutan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, tahun lalu.
Menurut dekri diraja, Puteri Reema yang berkelulusan undang-undang itu menggantikan adik Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman iaitu Putera Khalid bin Salman yang dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan.
Puteri Reema bakal berdepan penggubal undang-undang AS yang sebelum ini mengancam untuk mengambil tindakan tegas ke atas Arab Saudi berikutan pembunuhan kejam Jamal dan mendakwa Putera Mahkota terbabit dalam kejadian itu.
Felo Institut Baker di Universiti Rice AS, Kristian Ulrichsen menyifatkan pelantikan Puteri Reema itu sebagai cubaan Arab Saudi untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara yang tegang selepas pembunuhan Jamal.
Anak kepada bekas duta AS itu merupakan peguam terkemuka yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik isu-isu wanita seperti penahanan aktivis wanita, penderaan seksual dan penyeksaan.
Beliau sebelum ini bertugas di Lembaga Sukan Negara dan memainkan peranan penting dalam mengalakkan penglibatan wanita dalam sukan.
“Puteri Reema menjadi duta wanita pertama dalam sejarah Arab Saudi dan wanita pertama bertaraf menteri, isyarat kuat kepada integrasi wanita ke dalam kerajaan dan tenaga kerja,” kata pengasas kumpulan pemikir pro-Riyadh, Ali Shihabi.
Sementara itu, Putera Khalid bekas juruterbang tentera udara Arab Saudi mengumumkan rancangan pembaharuan tentera dan rombakan dramatik komander tertinggi pertahanan. – AFP









