'Dulu suami sanggup marahkan batu kerana sayang isteri' - Utusan Malaysia

‘Dulu suami sanggup marahkan batu kerana sayang isteri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 27 Feb. – Program Smartstart 2nd Honeymoon yang diadakan sejak 2015 terbukti berjaya menyemarakkan hubungan suami isteri yang telah lama berumahtangga di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, dalam tempoh tersebut sebanyak 150 pasangan yang berkahwin lebih lima tahun mengikuti program itu dan rata-rata berpuas hati kerana dapat mengenali pasangan dan hala tuju perkahwinan masing-masing.

Jelasnya, program percuma selama dua hari satu malam di hotel itu diisi dengan beberapa aktiviti antaranya terapi seni dan tarian, kenali pasangan, membina keintiman dan ikrar cinta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kebiasaannya semasa baru berkahwin kalau pasangan berjalan-jalan dan isteri tersepak batu, suami akan marahkan batu kerana terlalu sayangkan isteri. Tetapi selepas lama berkahwin apabila isteri tersepak batu, suami akan marahkan isteri.

“Sebab itu amat penting agar hubungan perkahwinan dapat dimantap dan disuburkan. Sudah tentu merugikan sekiranya mereka tidak menemui keseronokan dalam rumahtangga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri, Bibi Azlilee Abdullah.

Nicole menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya memohon geran di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi melaksanakan program itu dengan LPPKN sebagai konsultan pelaksana.

Katanya, kementerian menyediakan peruntukan RM500 bagi setiap peserta dan setakat ini enam NGO telah terlibat dalam melaksanakan program berkenaan di negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN