Dua pemuda buat laporan palsu disamun bersenjata didenda RM4,000 - Utusan Malaysia

Dua pemuda buat laporan palsu disamun bersenjata didenda RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT – Padah membuat laporan polis disamun bagi mengelak dikenakan denda dari Jabatan Pendaftaran Negara kerana hilang kad pengenalan, dua pemuda masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohd. Fitri Sadaruddin membuat keputusan tersebut selepas kedua-dua tertuduh, Alif Omar Sidek dan rakannya, Muhamad Farishafiq Mohd. Johari, masing-masing berusia 20 tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan. 

Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa membuat dua laporan palsu secara berasingan mendakwa disamun bersenjata oleh dua lelaki di hadapan McDonald’s Seri Iskandar pada pukul 1 pagi 23 Januari lalu.

Laporan palsu tersebut dibuat mereka di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada pukul 9.30 malam 24 Januari lalu bertujuan untuk penggantian semula kad pengenalan mereka yang hilang. 

Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam bela, R. Prabakaran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). 

Nur Farhana memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka berdua selain masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama. 

Terdahulu, dalam rayuan terhadap anak guamnya, Prabakaran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan kepada mereka memandangkan mereka berdua masing-masing hanya bekerja sebagai mekanik dan pembantu cef selain merupakan pesalah muda pertama kali. 

Mohd. Fitri kemudian menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM2,000 terhadap mereka berdua. Sekiranya gagal membayar, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan. 

Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN