Dua pemilik pusat jagaan kanak-kanak didenda beroperasi tanpa lesen - Utusan Malaysia

Dua pemilik pusat jagaan kanak-kanak didenda beroperasi tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH – Dua pemilik pusat jagaan kanak-kanak masing-masing didenda RM4, 000 dan RM2, 000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini hari ini selepas mengaku bersalah beroperasi tanpa berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Siti Syakirah Mukhtar, 34, dan Nurul Huda Ramli, 34  yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Siti Syakirah didapati telah mengendalikan Pusat Jagaan Ummi Insyirah di Taman Samarinda, Alor Gajah yang tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993. 

Mengikut fakta kes, pusat jagaan berkenaan telah beroperasi sejak 2013 dan menempatkan seramai 33 kanak-kanak.

Nurul Huda pula didapati melakukan kesalahan sama dengan menjalankan pusat jagaan kanak-kanak di Pusat Jagaan Qaseh Iman di Jalan Zamrud Taman Sri Permata sejak 2017.

Ketika serbuan dibuat oleh penguatkuasa, seramai 12 kanak-kanak ditemui di premis tersebut.

Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10, 000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKM Eny Edayu Mat Ali dan Nor Aswana Selamat memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan itu membabitkan kesejahteraan dan keselematan kanak-kanak.

Siti Syakirah dan Nurul Huda yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya hukuman ringan dikenakan dengan alasan sedang berusaha untuk membuat pendaftaran dan turut  mematuhi syarat lain ditetapkan, selain mengeluarkan kos bagi pelan premis.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak mahkamah kemudian memerintahkan Siti Syakirah didenda RM4,000 atau lima bulan penjara jika gagal bayar.

Sementara itu, Nurul Huda didenda sebanyak RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar. Kedua-dua mereka kemudian membayar denda tersebut. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN