PUTRAJAYA 27 Feb. – Kementerian Pengangkutan masih menunggu laporan siasatan Jabatan Laut terhadap syarikat Dragon Star Shipping Sdn. Bhd. susulan kejadian kebakaran di Langkawi, Isnin lalu.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan memandang serius insiden tersebut yang kali pertama kali berlaku seumpamanya.
“Tadi di mesyuarat pasca Kabinet, kita ada membincangkan perkara tersebut dan memandang serius tahap keselamatan syarikat terlibat.
“Satu audit dan penyiasatan sedang dijalankan dan kita masih menunggu hasil siasatan yang akan ambil masa sehingga dua minggu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang, Isnin lalu, feri yang membawa 52 penumpang dari Terminal Feri Kuah menuju ke Kuala Perlis itu terbakar pada jarak tiga kilometer dari pantai selepas bertolak kira-kira lima minit.
Anthony berkata, pihaknya akan memantau sekali gus menunggu cadangan serta ulasan daripada Jabatan Laut sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, perbincangan mengenai isu-isu berkaitan ruang udara Malaysia dan Singapura termasuk Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan prosedur ILS di Lapangan Terbang Seletar, Singapura diharap mencapai perkembangan positif menjelang bulan depan.
Katanya, jawatankuasa teknikal kedua-dua negara sedang aktif bermesyuarat setiap minggu bagi membincangkan perkara berkenaan. – UTUSAN ONLINE










