Dua maut tercampak keluar dari kereta - Utusan Malaysia

Dua maut tercampak keluar dari kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan mereka dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 265.5 Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS) arah selatan di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, mangsa, Wan Nur Syazliza Wan Nasharuddin, 19, dan Nor Iman Danish Abdul Azim, 5, tercampak keluar daripada kereta jenis Proton Persona tersebut apabila kenderaan dinaiki mereka itu dirempuh oleh sebuah bas ekspres.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, Proton Persona itu dinaiki seramai lima sekeluarga bersama dua kenalan mereka semasa kemalangan tersebut berlaku.

“Kereta itu dipandu oleh Nurulhuda Ramli, 36. Ketika kejadian kereta itu dinaiki empat anaknya, Nor Iman Danish, Mohd. Hakimi, 12, Mohd. Amirul Danish, 9, dan Dewi Aleesya Aulia berusia 7 bulan.

“Dua lagi penumpang kereta itu ialah Wan Nur Syazliza dan Puteri Rufaidah Zahlan, 17, yang merupakan kenalan mereka. Mereka dipercayai dalam perjalanan dari ibu negara menuju ke Port Dickson ketika kejadian itu berlaku,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ibrahim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona yang sedang bergerak di lorong kedua dari kanan itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya berkenaan.

Kata beliau, kereta itu kemudian berpusing beberapa kali sebelum terhenti secara melintang di antara lorong kedua dan ketiga lebuh raya tersebut sebelum dirempuh sebuah bas ekspres yang tidak sempat mengelak.

Jelas beliau, rempuhan itu menyebabkan menyebabkan kereta itu berpusing, manakala Wan Nur Syazliza Wan Nasharuddin, 19, serta Nor Iman Danish tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Tambah beliau, seramai 29 pemandu dan penumpang bas yang dalam perjalanan dari arah Ipoh menuju ke Johor Bahru itu tidak mengalami kecederaan.

Kata beliau, mayat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bagi bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dewi Aleesya Aulia dimasukkan ke zon merah, manakala Nurulhuda, Mohd. Amirul Danish, Puteri Rufaidah dan Mohd. Hakimi dimasukkan ke zon kuning di HTJ,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN