KUANTAN 3 Feb. – Dua maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 66.Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan di sini hari ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu ialah penunggang motosikal jenis Honda Wave Dash, Abdul Jamil Abdul Rahman, 51, dan penumpang belakang Proton Wira, Sahripah Bachokp, 62.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, kemalangan itu melibatkan tiga buah kereta iaitu Proton Iswara, Proton Saga dan Proton Wira, pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax serta motosikal jenis Honda Wave Dash.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika Isuzu Dmax dan Proton Saga dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat manakala Proton Iswara, Proton Wira dan motosikal Honda Wave Dash dari arah Segamat menghala ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan pacuan empat roda berkenaan bergesel dengan Proton Iswara yang datang dari arah hadapan laluan bertentangan.
“Selepas perlanggaran, Isuzu Dmax berpusing dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu terlanggar dengan Proton Wira dan motosikal Honda Wave Dash,” katanya di sini hari ini.
Amran berkata, Proton Iswara juga berpusing ke laluan bertentangan lalu terlanggar depan sebelah kanan Proton Saga.
Beliau berkata, saksi bebas akan dikenal pasti bagi membantu siasatan.
“Siasatan kes diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE










