PEKAN – Dua maut manakala seorang kanak-kanak cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 66 Jalan Kuantan-Segamat petang tadi.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, kemalangan berpunca daripada sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang datang dari arah Kuantan bergesel dengan sebuah Proton Iswara dari arah Segamat.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, kedua-dua kenderaan terbabit berpusing ke laluan bertentangan sebelum pacuan empat roda tersebut melanggar tiga lagi kenderaan dari arah Segamat iaitu motosikal Honda Wave Dash, Proton Saga dan Proton Wira.
“Akibat pelanggaran itu, dua mangsa maut di tempat kejadian iaitu penunggang motosikal, Abdul Jamil Abdul Rahman, 51, dari Taman Agropolitan Lepar dan penumpang kereta Proton Wira, Sharipah Bachok, 62.
“Seorang kanak-kanak berusia dua tahun di dalam Proton Wira terbabit mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiga lagi mangsa dalam Proton Wira turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Pekan, di sini manakala mangsa dalam tiga lagi kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk memberi maklumat,” ujarnya. – K! ONLINE










