SUNGAI BULOH – Dua lelaki warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan penemuan dua mayat dikerat beberapa anggota badan yang ditemui di tepi sebatang sungai berhampiran taman perumahan Desa Coalfields di Sungai Buloh, pada 26 Januari lepas.
Tanpa menyatakan waktu tangkapan itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kedua-dua lelaki yang dianggarkan berusia 35 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan sekitar ibu negara pada 29 dan 30 Januari lepas.
“Kami belum dapat kenal pasti identiti dua mangsa berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat ke-14 sempena Tahun Baru Cina 2019 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di Pusat Komersial TSB, di sini hari ini.
Dua lelaki berkenaan direman tujuh hari sehingga 6 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Baru-baru ini, Bernama melaporkan dua mayat disyaki masing-masing seorang wanita dan lelaki dipercayai mati dibunuh di tempat lain sebelum mayat berkenaan dibuang berhampiran sungai itu. – Bernama









