'Drama' calon-calon YB Rantau tarik perhatian - Utusan Malaysia

‘Drama’ calon-calon YB Rantau tarik perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau masih belum diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya, bahangnya sudah mula dirasakan.

‘Panas’ bukannya kerana persaingan antara mereka yang bertanding, sebaliknya ekoran perebutan untuk menonjolkan diri sebagai ca­lon bagi Pakatan Harapan (PH).

Calon PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr. S. Streram bukan lagi individu tunggal untuk mengisi tempat itu meskipun sebelum ini beliau seolah-olah sudah mendapat restu pucuk pimpinan PKR negeri dan Pusat.

Ketua PKR Cabang Rembau, R. Tanggam awal-awal lagi tidak mahu Streram yang juga timbalannya di bahagian itu dicalonkan. Alasannya Streram bukan anak tempatan.

Ironinya Tanggam sendiri mahu bertanding atau kalau bukan beliau dipilih, maka isterinya, K. Bathmavathi yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Rembau patut menjadi calon.

Lebih merumitkan keada­an, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin sebelum ini mahu calon wanita diletakkan menentang calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sudah tiga penggal menang di kerusi itu. Beliau akan mencadangkan tiga nama.

Semalam muncul pula sekumpulan mendakwa penyokong PH yang menuntut Streram tidak dicalonkan dan mencadangkan Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Rembau, Saparin Musa diangkat sebagai calon.

Memang benar prinsip demokrasi membenarkan setiap individu yang layak bertanding dalam pilihan raya. Bagaimanapun apabila terlalu ramai yang secara terbuka menawarkan diri, pasti akan ada kesan kepada keharmonian parti.

Mungkin akan berlaku sabotaj atau memboikot calon yang dimuktamadkan kelak. Perkara ini kerap berlaku dalam mana-mana parti politik.

Oh ya, bukan hanya nama-nama yang disebutkan di atas saja mahu menjadi calon. Dikhabarkan beberapa individu lain turut dicadangkan kepada PKR. Mungkin ada lagi drama dan watak-watak baharu yang akan muncul menjelang penamaan calon nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN