Disindir Sheila Rusly, Janna Nick malas komen! - Utusan Malaysia

Disindir Sheila Rusly, Janna Nick malas komen!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keakraban Janna Nick dan Shiela Rusly sememangnya telah diketahui umum sejak beberapa tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia terbukti apabila Janna dikatakan ‘anak emas’ JS Picture Sdn. Bhd. milik Sheila dan suaminya, Jinggo kerana banyak membintangi drama keluaran produksi tersebut. 

Namun, sejak kebelakangan ini ramai pemerhati dunia hiburan mengandaikan bahawa hubungan antara pelakon dan produser drama Leftenan Zara itu tidak lagi seakrab dahulu dan mereka

 

dikatakan sudah berpatah arang.  

Ia bermula apabila nama Janna dikaitkan dengan sindiran yang dikeluarkan oleh Sheila menerusi beberapa status yang dimuat naik dalam laman Instagramnya.

Disoal tentang perkara itu, Janna bagaimanapun enggan memberi sebarang komen. Masih menghormati Sheila dan keluarga kerana banyak membantunya bertapak dalam dunia lakonan, Janna lebih senang mengunci mulut daripada menjawab sebarang persoalan berkaitan hubungan mereka. 

“Saya tak nak beri sebarang kenyataan tentang hal ini. Saya hanya akan mengulas sekiranya pihak sebelah sana ada membuat kenyataan terlebih dahulu. Saya juga tiada apa-apa komen berkaitan hubungan kami.

“Secara jujurnya saya hormati produksi JS Pictures dan banyak terhutang budi,” luah Janna yang mengakui bahawa perkara ini bukan gimik untuk melariskan drama Leftenan Zana yang kini bersiaran menerusi slot Lestary  pada setiap Rabu hingga Jumaat pukul 9 malam di TV3.

Jelas Janna, dia ada menghubungi Sheila untuk bertanyakan soal sindiran itu,  namun produser berkenaan tidak memberi sebarang petunjuk bahawa dirinya adalah orang yang dimaksudkan. 

“Saya sudah bertanya sendiri dengan mereka tetapi tak ada pun reaksi negatif. Daripada jawapan yang diberikan, ia seperti bukan ditujukan kepada saya. Jadi saya rasa tidak perlu dipanjangkan. 

“Tentang hubungan kami, saya tidak ada apa-apa komen. Namun kalau pihak sana ada bagi kenyataan saya akan mengulas lanjut,” katanya yang dilantik menjadi duta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 bers
ama Izzue Islam. 

Kerja keras

 

Tidak menduga cabaran yang perlu dihadapinya amat besar sebaik sahaja menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sewaktu membawa watak Leftenan Zana, menurut Janna, ia sesuatu yang sangat sukar. 

Meskipun tempoh dia memasuki kem latihan hanya kurang dari sebulan, namun tidak mudah untuknya mempersiapkan diri bagi memberi yang terbaik dalam drama terbaru lakonannya itu. 

“Walaupun hanya berlakon, tapi saya hampir putus asa. Ia terlalu sukar sebab perlu sertai latihan bersama kadet yang pengalaman  sudah dua bulan di kem tentera.

“Walaupun saya artis, sekali sudah masuk kem mereka, kita harus menghormati uniform itu dan melalui pengalaman sama seperti kadet lain,” katanya.

Antara pengalaman latihan paling menjadi igauan ngeri buat Janna adalah mengangkat kayu balak yang beratnya hampir 30 kilogram dan berlari tanpa henti selama dua jam.

Namun, di sebalik pengalaman jerih itu, Janna berkata, dia kini amat mengagumi dan menyanjung tinggi semangat anggota ATM yang tugas mereka melindungi tanah air.

“Kita kena beri penghormatan tinggi untuk askar kita,” katanya yang menjalani latihan di Port Dickson dan Kem Terendak, Melaka.

Positif Selalu

 

Dilantik sebagai duta DFKL 2019, Janna menyatakan sokongan terhadap tema ‘Positif Selalu’ yang dibawakan pada tahun ini. 

Janna berharap orang ramai dapat menghentikan kritikan dan kecaman yang semakin menular dalam  laman-laman sosial.

“Pada pendapat saya, tema ini serasi dengan realiti media sosial pada masa kini. Jangan kita terlalu taasub dengan gambaran media sosial yang hanya sekadar fantasi.

“Tak semua orang karakter mereka sama dalam  media sosial dan di luar. Kadang-kadang bila orang jumpa saya di luar lain, dalam media sosial pula lain.  

“Penggunaan media sosial saya lebih kepada untuk pemasaran dan  mempromosikan drama lakonan,” ujar Janna. 

Siri Jelajah DFKL 2019 akan bermula 1 Mac ini di beberapa institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Klang dan akan menutup tirainya dengan Malam Anugerah DFKL 2019 pada Ahad, 7 April  di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN