Dialek Busan bawa tuah - Utusan Malaysia

Dialek Busan bawa tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecekapan menguasai bahasa asing selain bahasa Inggeris menjadi batu loncatan buat seorang gadis comel yang memasang cita-cita untuk menjadi pengacara sama ada dalam rancangan radio atau televisyen satu hari nanti.

Selain petah bercakap, penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Komunikasi Media) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Nur Alia Syakirah Abd. Nasir, 23, mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa seperti Tamil, Cina, Jepun, Taiwan dan Korea.

Dalam kesemua bahasa tersebut, Siti Nur Alia lebih meminati bahasa Korea. Faktor kerancakan drama bersiri Korea dan fenomena K-pop yang melanda negara sejak beberapa tahun lalu memudahkan anak kedua daripada tujuh beradik ini mempelajari dan memahami bahasa serta budaya negara tersebut dengan cepat.

Sungguhpun begitu, gadis yang berasal dari Bagan Serai, Perak itu tidak pula meminati artis Korea seperti sesetengah anak muda yang sanggup mempelajari bahasa tersebut semata-mata ‘taksub’ terhadap dunia K-pop.

Katanya, dia memilih untuk mahir berkomunikasi dalam bahasa Korea apabila rakan dan kakaknya meminati artis dari negara berkenaan.

“Secara tidak langsung, ketika menonton rancangan Running Man, saya belajar menyebut dan mengagak maksud perkataan tanpa perlu merujuk pada terjemahan.

“Dari situ, timbul minat untuk mendalami bahasa Korea. Kakak saya yang amat meminati kumpulan Girls Generation sekadar mampu membaca dan mengeja tulisan Korea tetapi tidak boleh bertutur. Saya pula yang boleh bertutur, memahami dan membaca dengan lancar dalam bahasa Korea,” katanya.

Bersandarkan pada kelebihan itu, gadis yang mesra disapa Alia memilih bahasa Korea sebagai subjek bahasa ketiga untuk pengajian di universiti.

“Saya berhasrat terus memantapkan lagi kemahiran bahasa Korea. Saya percaya kelebihan ini akan membuka lebih banyak peluang dan bidang yang boleh diceburi selepas tamat pengajian nanti,” jelasnya.

Dia yang pernah bekerja sebagai penterjemah sambilan bagi pihak Universiti Kookmin pada Pesta Pendidikan Korea di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak menolak rezeki sekiranya ditawarkan bekerja dalam sektor pelancongan berkaitan negara tersebut.

Dalam pada itu katanya, YouTube yang pada asalnya dikenali sebagai medium untuk menonton video kini beralih sebagai platform yang memberi pelbagai kemudahan dan informasi yang diperlukan.

Tidak hairanlah Siti Nur Alia aktif menggunakan medium itu sebagai rujukan bagi memantapkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Korea.

Selama dua tahun mempelajari bahasa Korea melalui YouTube, Siti Nur Alia kini fasih dan yakin untuk berkomunikasi di hadapan khalayak ramai.

Walaupun jadualnya padat sebagai pelajar, namun dia akan memastikan mempunyai waktu untuk belajar bahasa Korea dalam pelbagai dialek secara kerap.

“Selain itu, saya juga menguasai bahasa itu melalui drama dan lagu Korea. Walaupun pada mulanya agak sukar tetapi saya mampu dan mudah mempelajarinya dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.

Cabar diri masuk pertandingan

Walaupun masih mentah, namun Siti Nur Alia Syakirah tidak gentar untuk mencabar dirinya menyertai Pertandingan Ucapan Korea kali ke-12 di Malaysia pada November tahun lalu, anjuran Institut King Sejong UKM dengan kerjasama Kedutaan Republik Korea di Malaysia dan Pusat Penyelidikan Malaysia-Korea, Universiti Malaya.

Dia yang muncul sebagai johan mengalahkan 24 peserta di peringkat akhir dalam kategori asas menerima sijil beserta biasiswa pengajian bahasa Korea selama tiga minggu di Universiti Ewha Womans, Seoul, Korea Selatan.

Semasa pertandingan di peringkat akhir, peserta diminta untuk berucap melalui tema yang dipilih selama tiga minit.

“Pada ketika itu, saya berucap mengenai topik ‘Jika saya ke Korea’ menggunakan dialek Busan.

“Mungkin kelebihan bertutur dalam dialek Busan membawa kemenangan kepada saya. Dialek Busan agak sukar dipelajari kerana sebutannya mempunyai slanga tertentu.

“Alhamdulillah, selepas menghantar skrip karangan dalam bahasa Korea, saya dipanggil untuk ke saringan kedua iaitu temubual melalui telefon sebelum layak ke peringkat akhir,” katanya.

Tambahnya, semasa mengikuti penggajian di Universiti Ewha Womans dia banyak diajar berkaitan tatabahasa dan susunan ayat.

“Pengalaman tersebut amat berharga dan tidak mungkin saya lupakan.

“Saya dapat kenalan baharu dan mempraktikkan ilmu yang dipelajari ketika berkomunikasi dengan orang tempatan.

“Sepanjang tiga minggu mengikuti kursus, kami hanya menggunakan bahasa Korea untuk berkomunikasi.

“Dengan itu, saya belajar banyak perkataan baharu dan cara menyusun ayat yang tepat,” ujarnya yang mengakui berasa kekok ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Korea. Katanya, sikap rakyat Korea yang peramah serta menghormati budaya dan agama Islam menjadikannya selesa sepanjang berada di negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×