JAKARTA 8 Feb. – Debat antara calon Presiden dan calon Naib Presiden yang berlangsung 17 Januari lalu dilihat kurang memberi kesan dalam mempengaruhi pemilih.
Hal demikian terbukti menerusi satu kaji selidik yang dilakukan oleh Pusat Kajian Saeful Mujani (SMRC) melibatkan 1,486 responden baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif SMRC, Djayadi Hanan dalam satu kenyataan menghuraikan empat sebab sesi debat berkenaan gagal mempengaruhi pemilih di negara ini.
Jelasnya, debat itu pada awal lagi dilihat tidak menarik ekoran tersebarnya berita-berita kurang menyenangkan seperti kebocoran maklumat dan tuduh menuduh antara calon.
“Itu membuatkan orang ramai bertukar menjadi kurang berminat untuk mengikuti debat tersebut,” katanya seperti dipetik portal berita Republika.
Menurut beliau, kelompok yang menonton debat tersebut adalah dalam kalangan penyokong tegar yang telah dikumpulkan sejak sekian lamanya.
“Elemen itu membuatkan debat tersebut kurang menarik dan pada masa yang sama, pemilih yang masih teragak-agak, atau belum memutuskan untuk memilih calon pilihan mereka tidak terkesan dengannya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Djayadi memberitahu, penganjuran debat yang diadakan terlalu awal sebelum hari pengundian juga mengakibatkannya kurang berkesan dalam mempengaruhi pemilih.
Beliau membandingkan dengan penganjuran debat pada 2014 yang mana diadakan seminggu sebelum hari pengundian dilakukan.
“Dalam beberapa bulan pemilih terdedah dengan pelbagai isu lain yang mengakibatkan pengaruh debat menjadi berkurangan jika diadakan terlalu awal. Calon juga tampil biasa, kurang memberi penjelasan dan tidak menggunakan kekuatan serta kelemahan masing-masing untuk menarik perhatian pemilih.
“Oleh yang demikian, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) disaran mewujudkan satu bentuk pengenalan bagi menjadikan sesi debat tersebut lebih menarik,” katanya.










