Debat matangkan Pavithra - Utusan Malaysia

Debat matangkan Pavithra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHU suara dan pendapatnya didengari, gadis manis berusia 25 tahun ini nekad menyertai pasukan debat dan pertandingan yang dianjurkan sejak dari sekolah.

Bagi P. Pavithra, wanita juga mempunyai idea, pandangan dan pendapat bernas dalam pelbagai isu yang boleh diketengahkan atau diambil kira setanding dengan lelaki dalam usaha memajukan diri dan negara.

Oleh itu, peluang dan kesempatan untuk mengutarakan pandangan dalam pertandingan debat digunakan dengan sebaik mungkin oleh gadis kelahiran Kajang, Selangor ini untuk memperkasakan wanita pada mata umum.

Dia yang juga penyandang gelaran Pendebat Terbaik Akhir, Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2018 berkata, minat yang mendalam serta usaha untuk mengubah persepsi umum terhadap wanita membuatkannya kekal dalam bidang tersebut walaupun sudah bergelar pelajar sarjana ketika ini.

P. PAVITHRA

“Mula menyertai debat pada 2007 ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara, Serting, Negeri Sembilan dan dari situ saya mula membabitkan diri secara serius dalam pertandingan debat.

“Walaupun mendapat tentangan daripada keluarga pada awalnya kerana takut pelajaran saya terganggu, tetapi saya yakinkan mereka mampu seimbangkan kedua-duanya. Akhirnya mereka memberikan sokongan kepada minat saya ini,” jelasnya yang sedang meneruskan pengajian dalam Sarjana Psikologi Pendidikan di Universiti Putra Malaysia.

Tambahnya, bukan sekadar menyuarakan pendapat, debat juga banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih matang, mempunyai pengetahuan dan berfikiran terbuka menerima pendapat serta kritikan orang lain.

“Bila menyertai debat membuatkan saya faham bahawa ia bukan untuk menentukan siapa betul dan siapa salah. Ia lebih kepada mengamalkan pemikiran kolaboratif iaitu kadang-kadang kita kena belajar menerima pandangan orang lain.

“Selain itu, ia juga menambahkan pengetahuan saya mengenai isu-isu semasa melalui pembacaan di Internet, kajian-kajian yang telah dilakukan dan dokumen analisis kerana sebelum berdebat saya pastinya harus arif tentang sesuatu isu secara mendalam,” ujarnya.

Pavithra turut mengakui kemahiran komunikasi semakin meningkat sejak menyertai pertandingan debat kerana dia banyak berkenalan dan berinteraksi dengan ramai pendebat lain.

Perkara itu sekali gus meningkatkan keyakinannya untuk berhadapan dengan orang ramai dan menyebarkan aura positif kepada mereka.

Secara peribadi, Pavithra lebih menggemari debat bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris kerana baginya, lebih mudah untuk menyampaikan hujah dalam bahasa kebangsaan.

Dalam pada itu, dia tidak menafikan setiap perkara yang dilakukan pasti mempunyai cabaran dan rintangan, bagaimanapun perlu diatasi dengan fikiran positif dan tidak menjadikannya sebagai penghalang kejayaan.

“Cabaran paling besar adalah kekangan masa kerana saya perlu membahagikan masa dengan bijak iaitu antara latihan debat dengan pelajaran.

“Oleh itu, sudah pastinya masa untuk berseronok seperti rakan sebaya lain sangat terhad tetapi semua itu bukan alasan untuk saya lakukan apa yang diminati,” jelasnya lagi.

Sehingga kini, anak sulung daripada dua beradik ini telah menyertai hampir 30 pertandingan debat yang dianjurkan di seluruh Semenanjung dan telah merangkul johan sebanyak tiga kali, naib johan empat kali dan anugerah pendebat terbaik sebanyak enam kali.

Dia yang juga pemenang pertandingan ratu cantik Miss Malaysian Indian Global 2018 giat mengikuti projek kesukarelawan di bawah program tersebut untuk memberikan pendidikan mengenai alam sekitar di seluruh Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN