Datuk, dua cucu lemas dihanyutkan arus deras - Utusan Malaysia

Datuk, dua cucu lemas dihanyutkan arus deras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG 7 Feb. – Keriangan sebuah keluarga berkelah sempena cuti sekolah ini berakhir tragedi apabila seorang lelaki dan dua cucu perempuannya ditemukan mati lemas di Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mereka yang lemas ialah Mohamad Ramli Ibrahim, 65; Nur Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan adiknya, Nor Sariza Hafiza, 14.

Dalam kejadian berkenaan, seorang lagi mangsa iaitu kenalan kepada kedua-dua remaja perempuan itu dikenali sebagai Hanis, turut lemas namun sempat diselamatkan penduduk kampung.

Mayat Nor Sariza ditemukan pada pukul 2.26 petang kira-kira 50 meter daripada lokasi mereka dipercayai lemas sebelum kakaknya ditemukan pasukan penyelamat kira-kira dua jam kemudian.

Manakala mayat datuk mereka ditemukan pada pukul 5.22 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat tersebut ditamatkan.

Sementara itu, Isteri Mohamad Ramli, Sharifah Latif, 63, yang juga nenek kepada dua beradik itu berkata, mereka baru selesai makan tengah hari ketika kejadian sebelum dua orang cucu serta seorang lagi rakan mereka turun mandi.

“Ketika itu paras air tidak terlalu dalam tetapi secara tiba-tiba saya nampak air deras sebelum menghanyutkan tiga daripada mereka dan suami pula terjun untuk cuba menyelamatkan mereka sebelum dia turut hanyut.

“Kami sekeluarga seramai 10 orang pergi berkelah di situ sempena cuti sekolah dan anak serta dua cucu tersebut yang menetap di Kuala Kedah balik ke sini, sejak Isnin lalu,”

katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Nerang, di sini.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa, Nor Sariza sempat mengemas kini status di Whatsapp miliknya yang menggambarkan cuaca panas ketika berada di tempat kejadian dengan menulis ayat ‘Hmm panas-panas’.

Ibu saudaranya, Sabariah Shari, 46, berkata, dia sempat melihat status yang dikemas kini arwah Nor Sariza sebelum terkejut sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian menimpa mereka.

“Saya tidak sangka kejadian ini berlaku kerana ketika kali terakhir jumpa mereka di rumah saya di Kampung Bokbok, saya sempat bergurau dengan mereka supaya jangan balik kampung lama sangat.

“Mereka beritahu nak balik kampung untuk berkelah, malah mereka juga sempat adakan acara makan malam tadi sebelum pergi berkelah hari ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Nerang, di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN