KUALA LUMPUR 27 Feb. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan berhubung posting yang mendakwa Peguam Negara, Tommy Thomas sebagai anti Islam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan bermula selepas satu laporan polis dibuat wakil Tommy hari ini berikutan posting tersebut tular di Facebook dan WhatsApp.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan fitnah) dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, posting tersebut berbunyi ‘dah boleh perangi golongan haprak ini- Peguam Negara dah bersuara: Penghinaan Nabi dan Islam bukan penjenayah, mereka berhak lontarkan pandangan (Tommy Thomas)’.
Terdahulu sumber memberitahu, laporan polis itu dibuat oleh dua Pegawai Khas Peguam Negara, Amir Nasarudin dan Siti Rahayu Mumazaini bagi pihak Tommy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada pukul 3.15 petang tadi.
Dua pegawai berkenaan keluar dari IPD Putrajaya pada pukul 4.45 petang namun, usaha untuk mendapatkan respons mereka gagal apabila kenderaan yang dinaiki tidak berhenti untuk berjumpa media. – UTUSAN ONLINE











