JOHOR BAHRU 3 Feb. – Pengendali Perak, Mehmet Durakovic mengakui corak permainan bertahan antara punca kekalahan tipis 0-1 skuad bimbingannya ke atas Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi pembukaan Liga Super, semalam.
Durakovic berkata, tindakan barisan tengah dan pertahanan yang berada terlalu ke bawah dalam kawasan sendiri memberi ruang pemain tuan rumah menguasai perlawanan bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
“Corak mereka memberikan tekanan kepada posisi sayap kiri dan kanan, selain bergerak menyerang bahagian tengah. Pemain hadapan dan tengah terlalu turun ke bawah. Sepatutnya kami harus mengekang gerakan pemain JDT di bahagian tengah.
“Ini memudahkan pasukan lawan mengatur serangan dan mencipta peluang gol, akibatnya kita bolos satu gol,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan, semalam.
Durakovic mengakui, dia terkilan dengan anak-anak buahnya kerana percaya mereka mampu menghalang jaringan tunggal itu sekiranya memberi tumpuan penuh kepada perlawanan.
“Apapun saya enggan menyalahkan pemain dan kami berdepan dengan pasukan yang serba lengkap, malah, mampu memberi tentangan menerusi gerakan berbahaya, saya akui ketiadaan Gilmar (Da Silva Filho) menjejaskan barisan serangan,” katanya.
Durakovic memberitahu, walaupun ketinggalan 0-1, pemain Perak tetap bersungguh-sungguh memburu gol penyamaan, tetapi, ketajaman barisan serangan tampak kurang berkesan dan gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.










