Contohi Ahmad Bashah - Utusan Malaysia

Contohi Ahmad Bashah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERANGAN politik dengan memainkan isu mengenai tahap pendidikan seseorang pemimpin bukan satu benda baharu.

Sebelum Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ‘diserang’ dan cuba dimalukan dengan isu tahap pendidikan beliau, seorang pemimpin UMNO juga pernah diserang menggunakan modal politik yang sama.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah juga pernah melalui episod sebegitu apabila tersebar di media sosial mengatakan kelayakan tertinggi akademiknya hanyalah Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Sekarang ini, menerusi media sosial juga kelayakan akademik Marzuki yang dikatakan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) dipersoal.

Tambah menambah rencah dalam serangan itu apabila Marzuki sendiri ‘puas bersilat’ memberikan jawapan mengenai kelayakan akademik beliau.

Ini menjadikan warganet lebih bersemangat untuk ‘menyerang’ dan mencungkil mengenai tahap kredibiliti institusi pengajian yang diikuti Marzuki itu.

Berbeza dengan Ahmad Bashah, ketika diserang pada 2016 dengan isu kelayakan akademik, beliau yang berpengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama lima penggal menjawab dengan telus mengakui tahap pendidikannya itu.

Ahmad Bashah dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia selepas dilantik menjadi Menteri Besar Kedah menjelaskan bahawa dia tidak mendabik dada mengatakan dia pandai atau bijak, termasuk mempunyai kelulusan tinggi.

Tidak dinafikan tahap pendidikan adalah salah satu cara untuk membuatkan seseorang itu dipandang tinggi dalam masyarakat.

Bagaimanapun, tahap pendidikan sahaja tidak memadai untuk membuatkan seorang pemimpin itu dihormati lawan dan kawan jika ia tidak diadun dengan pengalaman.

Pengalaman, tahap pendidikan dan ditambah dengan sikap telus pemimpin mengakui kekurangan atau kesilapan diri adalah yang paling didambakan rakyat pada masa ini.

Jika tidak, bersiap sedialah untuk ‘diserang’ dan ‘dimalukan’ tentera bawang di alam maya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN