KANGAR 11 Feb. – Pas menafikan sama sekali dakwaan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bahawa parti itu menerima dana RM2.5 juta daripada UMNO.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembentangan laporan kewangan hampir setiap kali dalam mesyuarat Pas Pusat langsung tidak ada pembayaran seperti yang didakwa itu.
Katanya, Rewcastle-Brown seharusnya menunjukkan bukti mengenai dakwaan tersebut.
“Laporan dihantar kepada ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) setiap tahun dan boleh periksa jika kita menerima dana sebagaimana didakwa Clare.
“Saya sendiri periksa setiap bulan akaun Pas, sememangnya tidak ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Majlis Satu Dekad Maahad Tahfiz Al-Quran Al Imam An Nawawi (Matin) di sini, malam tadi.
Beliau mengulas cabaran yang dilontarkan Rewcastle-Brown terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyatan tidak konsisten berhubung penyaluran dana RM2.5 juta daripada UMNO kepada Pas.
Dakwa Rewcastle-Brown, wang berkenaan merupakan pembayaran secara tunai berjumlah RM2.5 juta oleh pemimpin kanan UMNO kepada Pas sebelum pilihan raya.
Pembayaran itu dikatakan sebahagian daripada dana RM90 juta UMNO kepada Pas yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, serangan demi serangan oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap Pas adalah kerana mereka merasa terancam dengan muafakat politik antara UMNO dan parti itu ketika ini.
Selain itu katanya, PH juga seolah-olah cuba mengalih pandangan rakyat terhadap kegagalan mereka terutama dalam soal janji yang tidak ditunaikan selain pelbagai isu lain.
“Mereka cuba mengalih isu selepas gagal menunaikan janji manifesto, gagal menangani kos sara hidup, penipuan sijil kelayakan akademik dan pelbagai lagi yang menyebabkan rakyat marah.
“Rakyat sebenarnya sudah muak dengan isu RM90 juta yang dimainkan PH ini. Bagi kita jika ada kes, Pas sedia disiasat dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya.- UTUSAN ONLINE









