JASIN 9 Feb. – Kerajaan negeri mengesahkan sembilan penduduk daripada tujuh buah keluarga di Taman Datuk Abdul Aziz, Umbai di sini dijangkiti wabak Chikungunya sejak 23 Januari lalu.

Perkara tersebut disahkan oleh Jabatan Kesihatan negeri hasil daripada ujian makmal yang dijalankan terhadap pesakit berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, bagaimanapun kesemua pesakit yang berusia antara enam hingga 56 tahun itu telah diberikan rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kesemua mereka masih dikuarantin sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh hari.
“Setakat ini saya mengesahkan tiada kes baharu dikesan dan wabak itu diisytiharkan tamat pada 6 Februari lalu,” katanya dalam sidang akhbar berhubung perkembangan wabak tersebut di sini hari ini.
Menurut Chee Leong, Jabatan Kesihatan negeri turut mengeluarkan 25 kompaun dan tiga notis kebersihan kepada penduduk selepas didapati keadaan persekitaran mereka tidak memuaskan.
Katanya, aktiviti kawalan seperti pencarian dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan kabus dan tindakan penguatkuasaan dijalankan meliputi seluruh kawasan serta di sekitar 500 meter radius di taman terbabit.
“Pesakit yang mempunyai simptom Chikungunya seperti demam panas yang mengejut, sakit sendi, ruam dan lain-lain gejala termasuk sakit kepala, sakit perut, loya dan sakit mata dinasihatkan mendapatkan rawatan segera di mana-mana pusat kesihatan berhampiran,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE










