LONDON 13 Feb. – Chelsea kini menjadikan legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane sebagai sasaran No. 1 untuk menggantikan Maurizio Sarri yang dikritik ekoran kekalahan memalukan 0-6 Blues kepada Manchester City, Isnin lalu.
Sebahagian besar ahli lembaga kelab London itu bersetuju membawa masuk Zidane yang memiliki rekod hebat sebagai pengurus ketika membimbing Real Madrid.
Menurut akhbar Britain, The Sun, Chelsea percaya, mereka dapat mengekalkan beberapa pemain bintang, termasuk Eden Hazard jika Zidane mengambil alih tugas pengurus pasukan.
Zidane, 46, ketika ini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas meninggalkan Real musim lalu, sejurus selepas membawa Los Blancos menjulang kejuaraan hatrik Liga Juara-Juara.
Bekas Pemain Terbaik Dunia itu yang pernah menjulang Piala Dunia bersama Perancis, selain gelaran Eropah bersama Real mampu meyakinkan Hazard untuk kekal di Stamford Bridge. – AGENSI










