Celaru akibat populariti merudum? - Utusan Malaysia

Celaru akibat populariti merudum?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN polis dibuat kerana berswafoto dengan orang ramai, stesen televisyen digesa minta maaf kerana pengacara menyebut ‘Malu apa bossku…’ dan kerjasama UMNO-Pas dilihat mengancam perpaduan negara serta dilihat perkauman.

Itulah antara contoh kecil bagaimana bercelarunya arena politik negara sejak berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. Ternyata dalam kalangan kita masih belum lagi keluar lagi daripada kepompong pemikiran politik sempit dan kebencian sehingga apa juga dilakukan atau mendatangkan keuntungan kepada musuh politik mereka akan ‘diserang’.

Mungkin sudah merasakan populariti kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin merundum dan bimbang kerjasama UMNO-Pas akan membangkitkan sokongan orang Melayu maka tercetuslah adegan-adegan politik melucukan termasuk laporan polis ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana berswafoto dengan orang ramai di Langkawi. Ayat ‘Malu apa bossku…’ pula dilihat seolah-olah satu ancaman sehingga wujud desakan supaya permintaan maaf dilakukan.

Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang menyokong kerajaan? Kalau mahu menyokong berpada-padalah. Jangan membuat tindakan atau hujah jahil yang hakikatnya satu usaha bagi menutupi kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji PRU-14.

Akui sahaja kerajaan sekarang terlalu banyak kelemahan. Rakyat semakin muak dan bosan. Kalau mahu sangat buatlah laporan polis ke atas pemimpin-pemimpin PH kerana dilihat memperdaya rakyat untuk menyokong mereka dalam pilihan raya umum lalu.

Kalaulah mahu sangat permintaan maaf, rasanya kerajaan lebih banyak berhutang permohonan maaf kepada rakyat khususnya peneroka Felda, pekebun kecil dan petani yang kini menderita akibat tiada pembelaan dilakukan biarpun seribu satu janji ditaburkan ketika mahu meraih undi mereka dalam PRU-14.

Begitu juga dengan soal terlalu takut dengan kerjasama antara UMNO-Pas. Kenapa baru sekarang ada ahli Pas yang mahu meninggalkan parti itu atas alasan tersebut? Kenapa tidak lakukan ketika Pas bekerjasama dengan DAP, suatu ketika dahulu?

Jika benarlah kerjasama itu berunsur perkauman, biarlah rakyat menilainya kerana bukankah unsur sedemikian didakwa tidak secocok dengan rakyat Malaysia? Penulis sebenarnya tidak terkejut dengan isu remeh temeh yang dicetuskan memandangkan itu sahaja modal yang ada pada pemimpin dan penyokong kerajaan dalam menghalang kebangkitan rakyat khususnya orang Melayu menolak kerajaan sedia ada. Dan situasi ini akan berterusan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak lama lagi.

Hakikatnya dalam berhadapan dengan suasana politik sekarang, pemikiran yang rasional amat diperlukan supaya kita tidak tergolong dalam kelompok dianggap tidak bijak berpolitik atau menyokong ‘membabi buta’. Perkara yang benar perlu disokong dan tidak betul perlu ditegur, bukannya dengan melakukan tindakan politik yang membosankan.

Tidak payahlah berdolak-dalik atau mahu mengalih isu sehingga menimbulkan kecelaruan dalam arena politik tanah air bagi menutupi kegagalan kerajaan menguruskan negara. Sepatutnya buatlah teguran membina bagi memperbaiki prestasi kerajaan bukannya tidur tidak lena atau gelisah tidak tentu fasal melihat Najib berswafoto dengan orang ramai, ayat ‘Malu apa bossku…’ dilihat ancaman keselamatan dan kerjasama UMNO-Pas boleh memecah belahkan rakyat Malaysia.

Cukup-cukuplah mahu memperdaya rakyat lagi. Cukuplah sekali ia berlaku dalam PRU-14. Masa masih ada untuk pemimpin dan penyokong kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan mereka terus berkuasa pada PRU-15 nanti.

Tetapi mereka tahu, kedudukan parti-parti dalam PH semakin parah. Apatah lagi sudah wujud spekulasi pakatan itu dijangka berhadapan pergolakan politik menjelang Mac ini. Apakah pergolakan itu? Sama-samalah kita tunggu tetapi riak-riaknya sudah ada.

Dan paling meresahkan penyokong-penyokong kerajaan ialah barisan Kabinet pada masa ini tidak ada arah tuju. Prestasi menteri berada pada tahap cukup tidak stabil sehingga mengundang kritikan daripada Tun Daim Zainuddin sendiri.

Ternyata walaupun bersama kerajaan tetapi Daim waras dalam berpolitik. Beliau meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya. Bekas Penasihat Majlis Kerajaan itu tidak peduli soal Najib berswafoto atau kerjasama UMNO-Pas, apa yang beliau mahukan ialah menteri-menteri memperbaiki prestasi masing-masing bagi mengelakkan rakyat muak.

Justeru nasihat penulis kepada penyokong-penyokong kerajaan, jadilah penyokong yang rasional bukannya ‘sokong membawa rebah’. Dulu pandai sangat mereka menuduh penyokong BN bersikap demikian tetapi sekarang apabila sudah menjadi kerajaan mereka pula bagaikan ‘lebih sudu daripada kuah’.

Mereka sepatutnya menerima hakikat, situasi politik sekarang tidak menyebelahi kerajaan. Oleh itu jangan biarkan politik negara terus bercelaru. Sudah sembilan bulan menjadi kerajaan, lakukan usaha terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN